Malaysia Dateline

Mengapa Umno harus takut-takut perkatakan kebenaran terhadap Najib?

Sama ada berdasarkan versi yang disiarkan dalam Asia Times atau setelah mendengar rakaman audio yang didedahkan, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan tidak harus ada perasaan bersalah tentang apa yang dinyatakannya dalam wawancara tersebut.

Beliau juga tidak harus cuba berdalih dengan mengatakan kenyataannya itu diambil di luar konteks.
Hakikatnya, bukan saja apa yang dinyatakan Mohamad atau Tok Mat itu adalah sesuatu yang benar dan tidak ada yang salah, bahkan tiada yang terkeluar daripada konteks yang sewajarnya.

Apa yang dinyatakannya dalam wawancara itu tentang 1MDB, kegagalan memberi penjelasan, kesannya kepada negara, Najib Razak harus masuk penjara jika gagal dalam rayuan di Mahkamah Persekutuan, pengampunan hanya boleh diberi setelah menjalani hukuman, tiada layanan istimewa, perbicaraan adil dan sebagainya – semuanya adalah perkara-perkara yang benar dan berdasarkan fakta.

Salahkah mengatakan 1MDB adalah beban kepada negara? Salahkah juga mengatakan Najib harus masuk penjara jika gagal dalam rayuannya?

Salahkah dengan turut mengatakan Najib hanya boleh memohon pengampunan jika setelah menjalani hukuman penjara sebagaimana pemimpin-pemimpin lain yang telah melaluinya sebelum ini?

Untuk itu, sebagai pemimpin nombor dua Umno, Tok Mat sepatutnya bangga dengan apa yang diperkatakannya itu.

Beliau juga seharusnya mempertahankan keseluruhan kenyataannya dalam wawancara itu.

Berkata benar berkaitan Najib, 1MDB dan perbicaraannya dalam situasi sekarang memanglah pahit dan tidak semua orang berani melakukannya.

Namun, tiada apa-apa yang perlu ditakutkan dengan kebenaran, walaupun jika ditujukan kepada kelompok sendiri.

Lagi pula, Najib dengan skandal 1MDB yang terkait dengannya telah mencatat sejarah buruk buat Umno dan BN sehingga hilang kuasa buat pertama kali atas karenah kepimpinan yang telah dilakukannya.

Maka, kenapa sesiapa dalam Umno harus sembunyi dan takut-takut untuk memperkatakan kebenaran terhadap Najib?

Tahniah kepada Tok Mat dan diharapkan lebih ramai kepimpinan dalam Umno berani bertindak sepertinya.

Gagal berbuat demikian hanya menjadikan Umno dilihat tidak berubah dan kembali kepada perangai lamanya.

Cukup-cukuplah dah Umno akan lebih selamat melalui landasan masa depannya jika tiada lagi Najib berlegar-legR di sekelilingnya.

Baca juga “Tak ada ke yang berani”? Umno sila jawab ini…

Baca juga Baru kematian suami, nyawa sendiri pula hilang di tangan anak