Malaysia Dateline

Mengejutkan! 26 pertuduhan terima rasuah RM248,000 selama setahun – Bekas pegawai kanan Pos Malaysia mengaku tidak bersalah

Mengejutkan apabila seorang pegawai kanan Pos Malaysia di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini berdepan dengan 26 pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM248,000 selama setahun, bermula 2020 lalu.

Bagaimanapun, bekas Ketua Perancang Bahagian Pengurusan Pengangkutan Pos Malaysia Berhad itu mengaku tidak bersalah sejurus kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Tertuduh, Hazri Mokhtar, 43, didakwa menerima suapan keseluruhan bernilai RM248,000 bagi membantu mempercepatkan bayaran oleh Pos Malaysia Bhd kepada sebuah syarikat logistik bagi kerja-kerja ‘outsourcing linehaul’ dan ‘shuttle services’ di Sabah dan Sarawak.

Mengikut kesemua pertuduhan, suapan itu diterima melalui transaksi atas talian ke dalam dua akaun bank miliknya di Bank Simpanan Nasional di Jalan Munshi Abdullah dan Maybank Melaka Main di Jalan Hang Tuah Melaka, antara 8 Julai 2020 hingga 11 Oktober 2021, lapor Awani.

Sehubungan itu, tertuduh yang telah berhenti kerja dan hanya melakukan kerja-kerja kampung dengan pendapatan RM800 sebulan tersebut didakwa di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika disabitkan kesalahan, pesakit gout itu boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau berbentuk wang atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Baca juga Penjaga stor dihukum penjara 30 tahun penyebab guru mati

Baca juga Kereta baru boleh beli tapi tak mampu nak bayar tol, netizen perli pemandu Proton X50