Malaysia Dateline

Menghitung hari penentu – Zahid, Muhyiddin jangan terlalu gembira

Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sepatutnya menghitung hari-hari penentu yang bakal menentukan nasib beliau tidak lama lagi.

Bekas Ahli Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail mengingatkan Zahid supaya tidak terlalu gembira kerana 23 September akan menjadi tarikh keramat yang tidak akan dilupakan seumur hidup beliau nanti.

“Tanggal 23 September ini akan menentukan hayat dan kebebasan Presiden Umno tersebut kerana tarikh tersebut akan ditentukan keputusan perbicaraan beliau di mahkamah samada akan menangis atau terus bergembira,” katanya semasa ceramah Pakatan Harapan (PH) di Juru, Dun Bukit Tengah malam tadi.

Untuk rekod, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 7 September lalu menetapkan 23 September ini, bagi keputusan sama ada Zahid, 69, dibebaskan atau dipanggil membela diri atas 40 pertuduhan menerima rasuah daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).

Bekas Timbalan Perdana Menteri itu berdepan 33 pertuduhan menerima suapan berjumlah SG$13.56 juta daripada UKSB untuk dirinya selaku Menteri Dalam Negeri ketika itu, bagi melanjutkan kontrak syarikat berkenaan sebagai pengendali Pusat Sehenti (OSC) di China dan Visa Luar Negara (VLN).

Suapan tersebut juga bagi mengekalkan kontrak perjanjian untuk membekalkan sistem bersepadu VLN kepada syarikat sama, oleh Kementerian Dalam Negeri.

Sementara itu, bagi tujuh lagi pertuduhan, Zahid didakwa mendapatkan untuk dirinya wang tunai SG$1.15 juta, RM3 juta, 15,000 Swiss Franc dan AS$15,000 daripada UKSB yang mempunyai kaitan dengan tugas rasmi beliau ketika itu.

Siti Aishah juga selanjutnya mengingatkan tentang sejumlah transaksi melibatkan puluhan bilion ringgit semasa pentadbiran kerajaan di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Begitu juga dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, semasa beliau menjadi Perdana Menteri (PM) didedahkan tiga transaksi antara Januari hingga Mac 2021 sebanyak RM11.08 bilion telah diambil daripada duit rakyat dan termasuk juga lebih 23 transaksi melibatkan RM52. 8 bilion, tetapi tidak mendapat respons.

“Rakyat jangan leka dan alpa, sebenarnya di bawah pimpinan kerajaan PN kini, hutang negara telah pun meningkat sehingga 1.043 trilion.

“Ketua Audit Negara turut melaporkan sebelum ini bahawa duit yang hilang adalah sebanyak RM620.07 juta,” katanya.

Sejajar dengan itu, ujarnya, Malaysia harus diselamatkan segera dengan sokongan penuh yang harus diberikan kepada PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Sekiranya negara ini dibiarkan terus kepada Umno, BN mahu pun PN, tambahnya, maka rasuah, salah guna kuasa dan nasib rakyat akan terus melarat tanpa pembelaan.

Baca juga Gila ke apa ini! kata netizen mengulas desakan BN agar PRU diadakan tahun ini walaupun banjir

Baca juga “Idea siapa ni, gempak!”- Resepsi Mas Idayu curi tumpuan, tak pakai ‘bridesmaid’, gantung belon je pada veil