Menjawab satu persatu hujah YB Bachok yang menyokong Sosma – Bahagian 2

Oleh KIM SYAZIE

Alasan ketiga Yb Bachok bagi menyokong Sosma: Dia habaq menjadi hak kerajaan untuk menahan individu yang disyaki bersalah untuk tujuan siasatan.

Jawapan saya: Saya setuju dengan dia bahawa dalam apa-apa sistem perundangan –baik sistem perundangan Islam atau perundangan manusia (man-made law atau dalam bahasa Arab depa sebut “qanun wad’ie” قانون وضعي )– lazimnya undang-undang memang membenarkan seseorang suspek atau orang yang disyaki ditahan untuk tujuan siasatan.

Oleh itu apa yang YB parti ehem itu habaq bukanlah suatu yang baru pun. Dan jujurnya saya tak tahu apa tujuan dia habaq benda yang kita semua dah tahu dan tidak pertikaikan itu.

Untuk makluman YB tersebut dan pihak-pihak yang berfikir macam dia, saya nak habaq dalam konteks negara kita. Undang-undang tertinggi negara ini iaitu Perlembagaan Persekutuan (PP) (lihat Perkara 5PP) dan undang-undang Kanun Prosedur Jenayah (criminal procedure code @ CPC) yang mengawal perbicaraan jenayah dalam negara ini (boleh lihat seksyen 117 CPC), sudah lama menyatakan apa yang YB baru sebut pada 26/7/2022 itu.

Untuk makluman YB, isu ketiga yang YB bangkitkan itu hakikatnya bukan isu yang menjadi perdebatan atau pertikaian antara kita.

Untuk makluman dia juga kita semua tidak pernah mempertikaikan seseorang suspek boleh ditahan untuk tujuan siasatan.

Oleh itu, hujah yang dia bangkitkan itu jika dalam law, tok loya habaq ‘cadit quaestio’ -the question falls!– atau dalam bahasa mudah, ia bukan isu.

Untuk makluman YB, isu yang menjadi pertikaian berhubung perkara ketiga yang Yb bangkitkan itulah adalah isu bagaimana undang-undang seperti Sosma yang menggunakan proses yang zalim dan drakonian bagi melakukun tangkapan dan penahanan seseorang yang disyaki.

Bukankah dia sendiri pun mengakui bahawa orang yang ditangkap itu hanya berstatus seorang yang disyaki sahaja?

Oleh itu sudah tentu tidak adil untuk kita memperlakukan seolah-olah orang itu sudah bersalah walau sebenci mana pun kita pada orang itu -sila lihat ayat 8 surah al-maidah-.

Dalam kes jenayah baik dalam Islam atau undang-undang manusia, bukan sahaja undang-undang substantif (yang menyentuh tentang soal hak dan tanggungjawab seperti kanun keseksaan) itu mesti adil, tetapi undang-undang prosedur (seperti CPC atau Sosma) juga mesti kena adil sebab baik undang-undang Islam atau undang-undang manusia, kedua-duanya bertolak dari premis yang sama iaitu “seseorang itu dianggap tidak bersalah kecuali dibuktikan bersalah”. Dalam Islam, depa habaq الأصل براءة الذمة.

Saya nak tanya dia, adakah wajar seseorang yang hanya baru disyaki ditangkap oleh polis dan selepas itu boleh ditahan sehingga tempoh 28 hari atas arahan polis juga dan semua proses penahanan lanjut itu pula tidak perlu terlebih dahulu didengar oleh mahkamah seperti yang diperuntukkan secara jelas di dalam PP dan CPC?

Apabila proses penahanan selama 28 hari itu tidak perlu mendapat perintah atau pengesahan di mahkamah, bagaimanakah pihak yang disyaki ingin atau mampu mempersoalkan sebarang isu mengenai keesahan atau “the legality” penahanan itu YB?

Adakah dia -seperti pihak polis- hanya menganggap penahanan selama 28 hari itu mesti sah dan tidak akan ada sebarang unsur yang tidak sah?

Dia mungkin anggap polis itu baik dan tidak akan aniaya mana-mana orang .

Ya mungkin dia betul tapi undang-undang bukan sekadar berbicara atau berurusan dengan soal isu polis itu baik atau tidak.

Hatta dalam kehidupan di dunia ini berapa orang yang kita mungkin nampak dari sudut zahir kelihatan baik tapi tuhan sahaja yang tahu betapa jahatnya depa itu!

Bersambung siri akhir, Insyaallah

Baca juga: Menjawab satu persatu hujah YB Bachok yang menyokong Sosma

Baca juga: Rakyat tidak harus terpesona dengan imej warak, jangan izinkan lagi agama dijual

Baca juga: Gara-gara berhutang, bekas tentera palsukan dokumen untuk jual 12 kereta mewah yang disewa