Malaysia Dateline

Menteri Agama nasihat umat Islam tidak hadiri Festival Bon Odori

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Idris Ahmad menasihatkan umat Islam di negara supaya tidak menyertai program Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam pada 16 Julai ini.

Naib Presiden Pas tersebut berkata, perayaan yang disambut masyarakat Jepun sejak lebih 500 tahun dahulu itu mengandungi unsur agama lain.

Menurut Senator berkenaan, kajian yang dibuat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mendapati program itu mempunyai unsur-unsur keagamaan lain.

“Kita nasihatkan kepada semua orang Islam supaya tidak sertai program ini. Ada banyak lagi program lain yang boleh disertai,” katanya.

Idris berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Kompleks Pendidikan Yayasan Pendidikan Islam Selangor (YAPIS) di Rancangan Tanah Belia 1, Sungai Panjang, Sungai Besar semalam.

Untuk rekod, Bon Odori memiliki cara tarian khusus yang dikatakan untuk menghiburkan roh atau hantu nenek moyang menyerupai Perayaan Hantu Lapar (Hungry Ghost Festival) yang dilakukan masyarakat Buddha Cina.

Mengulas lanjut, Idris berkata, pihaknya memberi penjelasan itu untuk memastikan tidak timbul kekeliruan dan salah faham.

“Kita kena sayang agama kita. Oleh yang demikian, JAKIM sebagai pihak penyelaras menasihatkan umat Islam supaya tidak sertai program seperti ini.

“Bukan sahaja program seperti ini, malah program apa apa sahaja yang membabitkan soal agama,” tegas pemimpin Pas itu lagi.

Poster hebahan program Festival Bon Odori di Kompleks Sukan Negara Shah Alam menampilkan imej karakter sekumpulan individu berpakaian tradisional Jepun dengan menonjolkan wanita Muslim yang menjaga aurat dengan bertudung lengkap memakai sarung tangan.

Tentatif program yang disertakan menunjukkan pintu pagar mula dibuka pukul 4.30 petang diikuti persembahan gendang jam 7 malam sebagai pembukaan iaitu menjelang waktu Maghrib.

Tarian Bon Odori Bahagian kedua pula dijadualkan bermula jam 8 malam dengan persembahan tetamu dirancang bermula jam 8.30 malam iaitu menjelang masuknya waktu Isyak.

Program itu juga bakal berlangsung di lokasi yang berjarak hampir 7 km dari Masjid Negeri Selangor Darul Ehsan iaitu Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam yang merupakan masjid kedua terbesar di Asia Tenggara.

Baca juga Better Beer Festival: Cabaran tuntutan bersilang masyarakat majmuk

Baca juga Harga kereta dijangka meningkat jika GST dilaksanakan semula