Malaysia Dateline

Menyelit dekat laluan kecemasan punya pasal, lori buat tiang elektrik hampir jatuh hempap orang

Tular satu rakaman kamera papan pemuka (dashcam) sebuah lori cuba menyelit di tepi jalan raya yang sempit sehingga menyebabkan tiang elektrik hampir tumbang menghempap pengguna jalan raya.

Ketika banyak kenderaan sedang berhenti di lampu merah, dapat dilihat lori tersebut memasuki laluan lorong kecemasan dengan sangat sukar kerana jalan yang sempit sebelum mengheret sekali wayar elektrik.

Pemandu kemudian tidak dapat melepasi jalan tersebut disebabkan wayar elektrik yang tersangkut pada bumbung lori.

Lebih mengerikan, tiang elektrik yang tertarik akibat wayar tersangkut menyebabkan ia hampir tumbang menghempap kenderaan lain.

Rakaman berkenaan dikongsi oleh pemilik dashcam yang menggunakan akaun Mo Syazmi di laman Dashcam Owners Malaysia.

Situasi tersebut selain mengundang kemarahan, turut mengundang rasa terhibur pengguna Facebook yang mengatakan ia sebagai balasan kepada pemandu yang tidak reti sabar di atas jalan raya.

Mereka juga tertawa lihat aksi pemandu yang terkial-kial cuba melepaskan wayar yang tersangkut dari bumbung lorinya kerana dia dilihat berundur beberapa kali akibat tersangkut.

Pada masa sama, ada pengguna menyarankan agar pihak berkuasa seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menghalang pemandu tersebut daripada mendaftar apa jua jenis kenderaan sehingga kesemua kos pembaikan dibayar.

“JPJ kena halang pemandu dan tuan punya lori daripada mendaftar apa jua kenderaan baru atau terpakai sampai kesemua kos permbaikian dibayar. Kalau tuan punya adalah syarikat, bukan saja syarikat tapi semua pengarah dikena sekatan sama termasuk jika mereka resign sebagai pengarah,” tulis pengguna lain.

Baca juga: Bila peperiksaan dihapuskan, cikgu je yang tahu bagaimana sesetengah murid hilang hala tuju

Baca juga: “Take it or leave it”- Seperti itulah Umno melayan anggota tentera