Malaysia Dateline

“Mereka berenang ketika hujan lebat”- 4 pelajar pondok termasuk seorang warga Malaysia lemas di Aceh

Sudah banyak kes membabitkan orang lemas di sungai kerana kejadian kepala air. Kebiasaannya kepala air berpunca daripada hujan lebat yang berlaku di hulu sungai.

Terbaru, lima orang pelajar Sekolah Pondok Raudhatul Qur’an al-Aziziah dilaporkan menjadi mangsa kepala air ketika sedang berenang di sungai Brayeun, Aceh.

Kesemua mereka dilaporkan berenang di sungai berkenaan ketika sedang hujan lebat.

Keadaan berubah tidak terkawal apabila kepala air berlaku dan menghanyutkan kelima lima mangsa.

Perkara tersebut dimaklumkan Jurucakap pihak berkuasa, Ibnu Harris Hussain.

Empat daripadanya dilaporkan meninggal dunia termasuk seorang pelajar warga Malaysia yang dikenali sebagai Fakhrul Razi, 20 tahun, manakala seorang lagi mangsa terselamat.

“Seorang daripada lima mangsa berjaya diselamatkan penduduk setempat, manakala empat lagi hilang dibawa arus deras sebelum ditemukan sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa terakhir dihanyutkan sehingga ke kawasan pantai dan dikenal pasti sebagai pelajar asal Malaysia, Fakhrul Razi,” katanya seperti yang dilaporkan CNN Indonesia.

Jelas Ibnu Harris, jenazah Fakhrul ditemui oleh kumpulan nelayan yang hendak turun ke laut.

Katanya, usaha membawa keluar jenazah pelajar itu berdepan kesukaran memandangkan laut bergelora dan angin kencang.

“Kami sudah maklumkan kepada keluarganya di Malaysia dan semua urusan bakal selesai tidak lama lagi,” katanya.

Baca juga: Tolonglah tuntut khairat kematian dari ASB walau baki cuma ada RM10, asalkan ada akaun, masih boleh tuntut