Selepas tular mengenai seorang wanita yang dikecam kerana menganggap Charles&Keith sebagai barang berjenama mahal, lelaki ini berkongsi bagaimana ketika kecil dia melihat KFC sebagai satu makanan yang mewah.
Tidak semua orang mampu membeli tas jenama Chanel mahupun Dior, kadangkala beg jenama seperti Polo juga dianggap sebagai barang berjenama mahal kerana harga tidak melambangkan kualiti.
Barangan mewah ini bukanlah sekadar terletak pada harga, kadangkala ramai lebih memilih keselesaan dalam menggunakan barang tersebut.
Pengguna Facebook, Khairy Malik berkongsi bagaimana makan KFC ketika kecil dianggap sebagai sesuatu yang mewah kerana jarang dapat pergi ke restoran makanan segera itu.
“Dulu, aku pernah rasa makan KFC tu mewah sebab punyalah susah nak makan KFC waktu kecil dulu. Kalau dapat tu, memang canang dekat kawan-kawan di sekolah.
“Dapat makan aiskrim walls, paddle pop pun mewah. Dulu abah beli aiskrim potong perisa kacang merah atau jagung je untuk aku.
“Beli ferrero rocher pun aku rasa mewah. Padahal dulu abah beli aku coklat kandos je pun aku bahagia gila haha,” tulisnya di hantaran Facebook.
Mengimbau kembali, Khairy sebelum ini hanya membeli baju di Pusat Pakaian Hari-Hari atau sekadar di pasar malam, bila dah dewasa barulah kenal jenama yang dijual di pusat beli-belah.
Baginya tidak salah seseorang itu untuk berkongsi pembelian barang di media sosial, kerana itu mungkin akan jadi sebahagian memori pembeli tersebut.
“Bila orang muat naik di media sosial, memberi tahu betapa bangga dia ada sesuatu itu, biarlah dia.
“Mungkin dia nak abadikan dalam memori media sosial dia. Sebab nanti setiap tahun, memori tu akan lalu balik di wall dia.
“Kita yang melihat ini kalau rasa Charles&Keith je pun, kau simpan jelah dalam hati. Betul, kau mampu lebih daripada itu. Tapi orang lain tak semampu kau,” tambahnya lagi.
Khairy mengingatkan semua bahawa mewah itu hanyalah subjektif, tidak semua yang anda mampu beli itu dapat dibeli oleh orang lain.
Jangan hanya melihat bahawa seseorang itu mahu menunjuk, mungkin dia hanya mahu menghargai pembelian hasil titik peluh sendiri.
Baca juga: ‘Puzzle’ paling mahal, lelaki tawan puncak Gunung Kinabalu untuk lengkapkan gambar duit RM100