Malaysia Dateline

Minyak masak boleh guna maksimum 3 kali sahaja, risiko kanser jika dikitar berulang kali

Apabila dilaporkan wujudnya peningkatan harga minyak masak bermula awal Julai ini, ramai yang mula gusar dan berkira-kira untukmengamalkan ‘pencatuan’ dalam penggunaan minyak masak mereka.

Golongan peniaga juga tidak terlepas dari perkiraan mahu menjimatkan minyak masak.

Bagaimanapun, laman rasmi Public Health Malaysia (PHM) mengeluarkan nasihat kepada orang ramai terutama peniaga untuk tidak menggunakan minyak masak berulang kali walaupun mahu melakukan penjimatan.

Jabatan kesihatan itu memberi amaran agar tidak mengulang minyak masak yang digunakan melebihi tiga kali atas faktor boleh mengaktifkan kanser di dalam badan.

“Semasa menggoreng, minyak masak melepaskan sisa toksik dipanggil aldehydes yang tertinggal di dalam minyak.

“Makanan yang digoreng menggunakan minyak yang diguna semula akan menyerap sisa toksik aldehydes tersebut. Ini merupakan bahan bahaya penyebab kanser.

“Radikal bebas yang dihasilkan akan menyebabkan radang dalam tubuh. Keradangan ini menyebabkan penyakit jantung, strok, masalah kegemukan dan kencing manis,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Pada masa sama, PHM turut memberitahu, keadaan minyak masak terpakai yang agak berasid akan menyebabkan tekak mudah berasa perit dan pedih.

“Jika anda perasan, selepas makan makanan bergoreng yang menggunakan minyak masak berulang, tekak akan berasa perit dan pedih. Ini adalah kerana keadaan berasid minyak masak terpakai.

“Kalau boleh elakkan penggunaan minyak masalah lebih 3 kali. Minyak terpakai boleh di jual atau di proses untuk menjadi lilin, sabun atau bahan bahan lain,”tulisnya lagi.

Baca juga: Kutipan Mat Kilau kini melebihi RM50 juta dalam tempoh 13 hari tayangan