Malaysia Dateline

MN disyor guna lambang baharu pada PRU-15

Gabungan Muafakat Nasional (MN) dianggotai Umno dan Pas dicadangkan menggunakan logo baharu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Pengarang Mingguan Malaysia, Zulkifli Jalil berpendapat Pas mungkin tidak bersetuju untuk menggunakan logo Barisan Nasional (BN).

“Elok cari lambang baharu. Tetapi lambang baharu mestilah mudah hendak dihurai dan senang difahami, aspirasinya nampak.

“Lambang baharu hendaklah diperkenalkan,” katanya dalam tulisan, “Siapa selamatkan Muafakat Nasional?” di Mingguan Malaysia hari ini.

Berkenaan Bersatu pula, beliau berkata, parti dipimpin Mahiaddin Md Yassin itu boleh diperuntukkan 35 daripada 122 kerusi Parlimen yang bermajoriti Melayu pada PRU-15.

Untuk rekod, Umno pada masa ini memiliki 38 kerusi Parlimen manakala Pas mempunyai 18 kerusi.

MN dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17 bulan pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditunjangi Bersatu.

Malah, Zulkifli juga menggambarkan Pas disambar Bersatu untuk membentuk PN menyebabkan Umno seperti “ditinggalkan isteri”.

Walau bagaimanapun, Pas kembali menyebut gabungannya dengan Umno itu menjelang penamaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri yang baharu.

Sikap Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu mengundang tanggapan bahawa Pas bermain dua ‘kolam’ serta cuba mengambil peluang dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi PRU-15.

Walau bagaimanapun, Pas menganggap partinya sebagai penyatu dengan menegaskan usaha memperkasa MN dan mempertahankan PN.