Malaysia Dateline

Menjelang penamaan PM baharu, Pas kembali seru Muafakat Nasional

Selepas Muafakat Nasional (MN) dilihat ‘sepi’ sepanjang tempoh 17 bulan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pas kini menyebut kembali gabungan politik antara partinya dan Umno itu.

Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz malam tadi menyebut pembina MN adalah Presiden Umno dan Pas berserta seluruh ahli kedua-dua parti itu.

“Ia (MN) kekal sehingga kini. Tiada yang dipinggir atau disingkir daripadanya. Semua telah berjasa mengukuhkannya.

“Jangan kita menyahut seruan kiri dan kanan, malah dari dalam sendiri untuk memisahkan di antara KITA.

“Kukuh Muafakat Nasional, kukuhlah kesatuan umat yang kian berkembang dari satu tahap kepada satu tahap lebih baik yang akan menjamin kejayaan dan kesejahteraan negara,” tulisnya di Facebook malam tadi diakhiri tanda pagar #PerkasaMNPertahanPN.

Kenyataan Nik Abduh yang juga Ahli Parlimen Bachok itu muncul ketika Barisan Nasional (BN) yang diterajui Umno dikatakan bersetuju menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

Nama Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera itu dipersetujui oleh semua 42 Ahli Parlimen BN untuk dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong hari ini.

Sepanjang tempoh kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang wujud hasil pengkhianatan sejumlah Ahli Parlimen terhadap Pakatan Harapan (PH), Pas dilihat mesra dengan Bersatu yang diterajui Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Sikap Pas yang berada dalam dua gabungan parti politik iaitu MN dan PN itu mengundang tanggapan bahawa Pas bermain dua ‘kolam’ serta cuba mengambil kesempatan dalam proses rundingan pembahagian kerusi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum PRU ke-15 (PRU-15).

Walau bagaimanapun, Pas menganggap partinya sebagai penyatu dengan menegaskan usaha memperkasa MN dan mempertahankan PN.

Pendekatan berbaik dengan Mahiaddin dan PN sebelum ini membolehkan Pas kembali menganggotai barisan jemaah menteri Kabinet selepas 43 tahun bergelar pembangkang.

Pas kali terakhir berada dalam Kerajaan Persekutuan bersama kerajaan campuran Perikatan dari 1973 hingga 1974 dan Barisan Nasional (BN) dari 1974 hingga 1977.

Dalam kerajaan PN yang bertahan hanya 17 bulan sehingga 16 Ogos lalu, seramai lapan daripada 18 Ahli Parlimen Pas dilantik sebagai menteri dan timbalan menteri.