Mossad Israel sohor di Twitter

Oleh ARIF ATAN

Mossad yang merupakan agensi perisik Israel sohor di Twitter susulan kejayaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggagalkan operasi dipercayai dilaksanakan ejen tersebut pada 28 September lalu.

Lebih 22,000 ciapan setakat pagi ini memperkatakan agensi rejim Zionis yang boleh disamakan dengan CIA dari Amerika Syarikat (AS) atau MI6 dari United Kingdom (UK) itu.

Pada 14 Oktober lalu, 11 rakyat negara ini termasuk seorang wanita didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan menculik seorang lelaki Palestin bagi mendapatkan maklumat berkaitan perisian untuk menggodam telefon bimbit.

Mereka terbabit ialah Edy Ko’im Said, 40; Mohamad Norakmal Hassan, 41; Dody Junaidi, 42; Tengku Arif Bongsu Tengku Hamid, 39; Mohamad Naziree Mustapha, 39; dan Faizull Hardey Mohd Isa, 40.

Turut didakwa, Muhammad Iqmal Abdul Rahis, 25; Mohamad Sufian Saly, 23; Muhammad Al Hatim Mohd Fauzi, 21; Nidarahayu Zainal, 34; dan Raibafie Amdan, 39.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Akta 365) dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau dipenjara seumur hidup dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mereka dengan secara niat bersama telah menahan Omar Z.M Albelbaisy Raeda, 31, dengan cara tidak berpatutan untuk mendapatkan ganjaran iaitu rahsia maklumat membuat dan menyahaktif perisian komputer yang digunakan untuk menggodam telefon bimbit.

Kesalahan itu didakwa berlaku di Jalan Mayang di ibu negara jam 10.40 malam pada 28 September lalu.

Terdahulu, media pada 5 Oktober lepas melaporkan seorang lelaki warga Palestin yang diculik menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) berjaya diselamatkan dalam kejadian pada 28 September.

Semalam, laporan NST mendakwa ejen Mossad Israel memasuki Malaysia dalam usaha mengesan dan menculik rakyat Palestin yang mereka percaya sebagai aset Briged Hamas al-Qassam.

Mossad dipercayai merekrut aset tempatan untuk membantu rejim Zionis memburu anggota Hamas di negara ini, termasuk dalam kes penculikan dua lelaki Palestin yang dipercayai aset Briged Hamas al-Qassam di ibu negara, baru-baru ini.

Dalam operasi di tengah-tengah Kuala Lumpur, NST melaporkan bahawa pasukan perisik memintas dua warga Palestin ketika kedua-duanya mahu memasuki kenderaan diletakkan berdekatan Jalan Yap Kwan Seng, di ibu negara sejurus selepas jam 10 malam, 28 September lalu.

Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, dalam satu kenyataan pada 17 Mei 2021 memaklumkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius ancaman keselamatan dikeluarkan Israel terhadap pemimpin pergerakan perjuangan Palestin di seluruh dunia, termasuk di Malaysia.

Jelasnya, Malaysia mengambil maklum kewujudan organisasi yang mendukung dan menyokong aspirasi perjuangan rakyat Palestin dan akan terus memelihara ketenteraman awam dan keselamatan rakyat Malaysia, termasuk warga Palestin yang berada di negara ini.

Pada 21 April 2018, Fadi Mohamed al-Batsh, 35, seorang profesor Palestin dan ahli Hamas, ditembak mati di Kuala Lumpur.

Baca juga ‘Dah macam Belalang nasihatkan bapak dia’ – Aksi si abang nasihat adiknya raih pujian

Baca juga Cikgu Fadli tidak bersalah, bebas 3 pertuduhan