Malaysia Dateline

MoU Kerajaan Perpaduan sebenarnya tambah tekanan kepada pembangkang

Tanggal 16 Disember 2022 tercipta sejarah baharu pasca PRU 15 apabila kesemua parti dan ahli parlimen yang membentuk kerajaan telah menandatangani satu MoU atau yang dinamakan Perjanjian Persefahaman Kerjasama bagi membentuk Kerajaan Perpaduan Malaysia antara PH, BN, GPS, GRS, Warisan, PBM, KDM dan ahli parlimen bebas. MOU sebegini dianggap nadir dalam sejarah Malaysia kerana semenjak Merdeka model pembentukan kerajaan adalah berdasarkan sistem gabungan parti seperti Perikatan dan Barisan Nasional.

Dalam kitab Ar Raheeq Al Makhtum karangan Sheikh Safi-Ur Rahman Al-Mubarakpuri (2021, Dakwah Corner Bookstore) mencatatkan bahawa Nabi Muhammad SAW telah membuat dua perjanjian setibanya di Madinah Al-Munawwarah. Hijrah Nabi SAW ke Madinah itu membuka lembaran baru kepada agama Islam daripada kaum yang ditekan oleh Quraisyh kepada kaum yang memerintah.

Namun, suasana di Madinah ketika itu memerlukan satu kebijaksanaan memerintah kerana faktor ketidakstabilan politik. Masyarakat Madinah ketika itu terdiri daripada 3 golongan iaitu kaum Muslimin Muhajirin dan Ansar, kaum musyrikin Madinah dan kaum Yahudi. Kaum musyrikin Madinah itu diketuai oleh Abdullah bin Ubai dan kehadiran Nabi SAW itu akan mengancam kedudukannya sebagai tokoh besar di kalangan penduduk Madinah. Abdullah bin Ubai adalah tokoh yang dipersetujui oleh suku al-Aus dan al-Khazraj untuk dilantik sebagai pemimpin mereka selepas peristiwa peperangan Buath tetapi pertabalan rasmi masih belum lagi dibuat. Kaum Yahudi pula amat menguasai ekonomi Madinah dan sangat licik. Kaum Yahudi sering menjadi batu api untuk menimbulkan permusuhan antara suku kaum supaya mereka kemudiannya dapat menyalurkan pinjaman kewangan secara riba.

Justeru, Nabi SAW telah membuat carta persefahaman antara bukan Islam dan Islam yang boleh mengenepikan rangsangan jahiliah dan kecenderungan bermusuhan sehingga mereka semua dapat didamaikan.

Antara isi kandungan persefahaman itu adalah bahawa pengiktirafan terhadap setiap golongan itu (dalam konteks moden disebut warganegara) dan kerjasama sesama mereka. Mereka tidak boleh saling bunuh-membunuh dan setiap orang berhak mendapat perlindungan keamanan.

Begitu juga, Nabi SAW telah membuat perjanjian dengan Yahudi dengan memberikan kemerdekaan penuh kepada Yahudi dalam aspek agama dan kewangan. Kaum Yahudi juga bertanggungjawab untuk membiayai negara sepertimana orang Islam. Kaum Yahudi juga dilarang untuk bekerjasama dengan kaum Quraisyh dan bertanggungjawab untuk mempertahankan kota Madinah daripada dicerobohi.

Melihat kepada MoU Kerajaan Perpaduan Malaysia ini ianya mencontohi apa yang berlaku ketika Nabi SAW memasuki kota Madinah iaitu untuk mewujudkan kestabilan politik. Intipati MoU ini sendiri adalah berteraskan kepada kestabilan politik dengan mewujudkan persefahaman antara semua pihak yang membentuk kerajaan. MoU ini mengesahkan bahawa kerajaan ini mempunyai majoriti 2/3 di Dewan Rakyat iaitu mencecah 148 kerusi (lihat Resital A)

Resital B MoU ini mengesahkan titah YDPA supaya satu kerajaan perpaduan ditubuhkan demi kestabilan. Walaupun ramai pihak yang ‘koyak’ dengan istilah ini namun, penggunaan istilah titah YDPA ini menunjukkan bahawa ianya adalah satu kehendak daripada YDPA sendiri dan tidak sepatutnya pihak yang ‘koyak’ ini engkar dengan titah YDPA tersebut.

Resital E MoU ini pula menyatakan tempoh MoU ini akan berlangsung selama 5 tahun dan ini akan mewujudkan kestabilan politik secara jangka panjang. Tidak syak lagi bahawa kewujudan MOU seperti ini mampu menggagalkan sebarang usaha tebuk atap atau langkah Sheraton 2.0.

Apa yang menarik daripada MoU ini adalah pemeteraian matlamat bersama yang ingin diwujudkan daripada Kerajaan Perpaduan Malaysia. Terdapat 17 matlamat yang dinyatakan dan kesemua matlamat itu adalah selaras dengan semua peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

Matlamat yang dinyatakan itu antara lain adalah mewujudkan masyarakat yang adil, mempertahankan institusi Raja Berperlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, keluhuran dan kedaulatan undang-undang, memperkuatkan pemisahan cabang kuasa legislatif, eksekutif dan kehakiman, kebebasan asasi seperti kebebasan bersuara, berhimpun dan berpersatuan, pengukuhan semangat Federalisme dan lain-lain. Kesemua matlamat ini adalah penegasan semula terhadap kandungan Perlembagaan Persekutuan.

Selain itu, ada matlamat yang tidak dinyatakan secara harfiah dalam Perlembagaan seperti pembelaan ekonomi, mobiliti sosial, penyediaan kemudahan pendidikan, kesihatan, perumahan dan pengangkutan awam, jaminan hak pekerjaan serta upah yang adil, pengiktirafan kepada peranan wanita dan iktikad untuk penglibatan 30% wanita dalam kerajaan, pengembangan potensi belia dan remaja, meningkatkan mutu orang Asal, perlindungan alam sekitar dan pengembangan dasar hubungan luar.

Kewujudan matlamat MoU ini dilihat sebagai untuk menggantikan manifesto parti masing-masing semasa kempen PRU 15 yang lepas. Ini bukan bermakna hasrat manifesto itu tidak dapat dilaksanakan tetapi perlaksanaan kandungan manifesto itu mestilah mengikut matlamat yang digariskan. Jika ada mana-mana kandungan manifesto itu bercanggah dengan matlamat ini maka matlamat ini haruslah diberikan keutamaan.

Dengan adanya matlamat yang sama ini maka Kerajaan Perpaduan Malaysia ini akan dipandu dengan satu matlamat yang sama. Kemungkinan ramai pihak sebelum ini curiga bagaimanakah parti-parti politik yang berbeza ideologi boleh bersama dengan membentuk kerajaan. Maka, MoU ini adalah jawapan kepada kecurigaan itu. Ini berbeza sekali semasa pembentukan kerajaan tebuk atap atau kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini yang tidak dipandu dengan sebarang matlamat yang sama.

Sebab itulah kerajaan Perikatan Nasional sentiasa berantakan yang akhirnya berlaku pertukaran Perdana Menteri kepada Ismail Sabri. Apa yang mengikat kerajaan Perikatan Nasional sebelum ini adalah hanya ‘scheme of things’ iaitu pemberian jawatan politik sehingga wujud dua timbalan menteri dalam pelbagai kementerian sehingga kita sendiri pun tidak kenal siapakah timbalan menteri itu dan ditambah lagi dengan pewujudan jawatan duta khas serta pelantikan politik yang berleluasa dalam GLC.

MoU ini juga telah menetapkan Jemaah Menteri hanya terdiri daripada 28 orang Menteri. Namun, jumlah ini boleh ditambah jika keadaan memerlukan. Walaupun Perdana Menteri mempunyai prerogatif untuk melantik menteri, MoU ini telah menyatakan bahawa Perdana Menteri perlu berunding dengan kesemua parti sebelum dibuat apa-apa pertambahan atau perubahan portfolio kementerian masing-masing.

Kandungan penting yang lain MoU ini adalah berkaitan undi percaya dan undang-undang perbekalan. Dengan adanya MoU ini boleh dianggap hampir mustahil apa-apa RUU tidak dapat diluluskan di Parlimen. Ini kerana MoU ini meletakkan syarat kepada setiap parti untuk menyokong Perdana Menteri dalam usul percaya, perbekalan dan lain-lain yang boleh memberikan kesan kepada keabsahan kerajaan.

Setiap parti pula bertanggungjawab untuk memastikan setiap ahli parlimen parti mereka untuk menyokong usul itu. Sekiranya berlaku mana-mana ahli parti yang tidak mematuhi arahan parti maka boleh menyebabkan pemberhentian ahli sehingga menyebabkan kekosongan kerusi ahli parlimen itu yang akan membawa kepada satu pilihan raya kecil diadakan.

Perkara yang terakhir dinyatakan adalah mengenai penubuhan mekanisme khas untuk meluruskan sebarang pertikaian. Kewujudan Majlis Perundingan dan Timbang Tara dilihat dapat meleraikan sebarang kekusutan yang mungkin berlaku. Penerapan konsep musyawarah sebegini lebih baik daripada penggunaan prerogatif Perdana Menteri bersendirian. Penggunaan Mahkamah juga tidak sesuai untuk menghentikan pertelingkahan antara pihak dalam MoU ini.

Kesimpulannya, kewujudan MoU ini akan menambahkan tekanan kepada pihak pembangkang kerana secara dasarnya kerajaan ini telah stabil dengan 148 orang ahli Dewan Rakyat yang menyokong kerajaan.

Langkah Kerajaan Perpaduan Malaysia mengisytiharkan MoU ini kepada masyarakat awam adalah sangat baik kerana ini membolehkan masyarakat awam turut berpartisipasi dalam sistem demokrasi sekaligus memantau tindak-tanduk kerajaan supaya selaras dengan kehendak MoU.

Baca juga: ‘Tak sempat tukar baju PM kita’ – Rakyat hargai sikap peduli Anwar Ibrahim