Malaysia Dateline

UPDATE: Tolak cadangan bincang tawaran, Mahiaddin perlu letak jawatan sekarang

Ahli Parlimen DAP,  PKR  dan AMANAH tidak bersetuju dengan cadangan agar parti-parti politik pembangkang membincangkan cadangan kerjasama yang dihulurkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin dan mahukan beliau meletakkan jawatan segera.

Ini kerana, ucapan Mahiaddin petang tadi membuktikan beliau sudah tidak ada majoriti dalam Dewan Rakyat dan perlu meletakkan jawatan.

Ahli Parlimen Sepang dari AMANAH, Mohamed Hanipa Maidin berkata, ucapan Mahiaddin petang tadi seolah-olah mengaku beliau sudah tidak ada majoriti.

“Dia lupakah, bukankah masa dia jumpa YDPA baru-baru ini, dia beritahu depan YDPA kononnya dia ada sokongan majoriti dan tidak timbul dia kena letak jawatan. Boleh baca kenyataan akhbar dia.

“Tidakkah dia sebenarnya menipu siang-siang hari buta pada YDPA, masa dia kata kepada YDPA dia ada sokongan majoriti? Jika dia menipu, layakkah si penipu ini menerajui negara?” kata Hanipa dalam tulisannya.

Kenyataan Hanipa selari dengan pandangan ahli Parlimen dari DAP.

“Muhyiddin mesti pergi sekarang. Dia sudah mengaku dia tidak ada majoriti. Tidak ada jalan lain melainkan letak jawatan. Biarlah Yang Dipertuan Agong menggunakan kuasanya untuk memilih PM baru,” kata Wong Kah Woh, ahli Parlimen Ipoh Barat menerusi Twitternya.

Pengerusi PAC itu juga berkata, “Adakah anda percaya kerajaan yang ada sekarang ini akan melaksanakan undang-undang anti lompat? Kelakarlah,” kata beliau.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil juga berkata, Mahiaddin mengaku secara terang terangan beliau hilang sokongan majoriti.

“Perkara 43 (4) berkuatkuasa. Letak jawatan sekarang,” kata MP Lembah Pantai itu sambil menjelaskan Perkara 43(2)(a) berkata, “KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkuasa menentukan ahli Dewan Rakyat yang mempunyai majoriti untuk dilantik PM. Bukan TS Mahiaddin.”

Teresa Kok (Seputeh) juga berkata, ucapan Mahiaddin petang tadi menunjukkan beliau mengaku sudah tidak ada majoriti di parlimen.

“Kalau ikut kes Perak, yang disahkan oleh sistem undang-undang yang ada, dia mesti letak jawatan.

“Memalukan dia cuba membeli MP pembangkang dengan nilai yang rendah.

“PN sekarang sudah jatuh menjadi #Kerajaan bendera puteh,” kata Timbalan Setiausaha Agung DAP itu.

TOLAK BINCANG CADANGAN MAHIADDIN

Dalam pada itu, Wong Kah Woh juga menolak cadangan seorang lagi MP DAP agar cadangan Mahiaddin itu dibincangkan.

“Tidak setuju sepenuhnya (totally disagre),” kata ahli Parlimen Ipoh Barat itu terhadap cadangan Ong Kian Ming (DAP-Serdang) agar parti politik membincangkan cadangan Mahiaddin itu.

Pengerusi PAC itu berkata demikian ketika membalas kenyataan Ong Kian Ming menerusi twitter.

Selepas ucapan Mahiaddin petang tadi, Ong Kian Ming mencadangkan agar semua parti politik duduk berbincang segera bagi mengkaji cadangan yang dikemukakan oleh Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yassin.

“Saya fikir semua parti politik berbincang segera apakah segala syarat-syarat ini diterima atau tidak,” kata ahli parlimen Serdang itu menerusi twitternya.

Mahiaddin dalam ucapan khasnya jam 6 petang tadi menawarkan agar pembangkang menyokong kerajaan beliau dalam undi percaya dan beliau akan memastikan kleptokrat tidak kembali berkuasa.

Selain Wong Kah Woh, ramai aktivis juga menolak cadangan Ong Kian Ming yang mahu parti politik mempertimbangkan cadangan Mahiaddin itu.

Ketika mengulas cadangan Ong Kian Ming agar parti politik membincangkannya, netizen juga menolak cadangan itu.

Firdaus Abdullah bertanya, adakah MP Serdang itu alat Mahiaddin dalam DAP.

A_Im pula membalas, “Kalau awak setuju, saya tidak akan undi kamu dalam pilihan raya akan datang. Cukuplah tu (Enough is enoungh).

Pengguna twitter yang menggunakan nama ‘Hak sama rata untuk..” juga menolak pandangan Kian Ming itu.

“Janji orang yang desperate pun tak tertunai, apa lagi janji orang mengkhianat yang desperate,” tulis beliau.