Malaysia Dateline

MP perlu sokong pindaan agar wanita diberi hak wariskan kerakyatan pada anak yang lahir di luar negara

Konvensyen Amanah Nasional 2022 yang diadakan baru-baru ini telah meluluskan beberapa usul antaranya usul untuk memberi hak kepada wanita Malaysia mewariskan kerakyatan anak mereka yang dilahirkan di luar negara.

Usul tersebut telah dipersetujui sebulat suara oleh semua perwakilan Amanah Nasional dalam konvensyen yang diadakan selama dua hari itu.

Bagi Dr Hafidzah Mustakim, Ahli Parlimen perlu sebulat suara menyokong pindaan ini apabila ianya dibentangkan di Parlimen kelak kerana beliau sendiri telah melihat bagaimana ibu yang membawa suara anak-anak ini dinafikan hak untuk mendapat kerakyatan Malaysia.

Ketua Angkatan Wanita Amanah (AWAN) Negeri Kelantan itu berkata, sudah terang lagi bersuluh wanita Malaysia menjadi mangsa diskriminasi gender apabila anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara tidak boleh didaftarkan sebagai warganegara Malaysia secara automatik sedangkan sebaliknya berlaku bagi kaum lelaki.

“Wanita Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing dan melahirkan anak di luar negara perlu membuat permohonan untuk anak mereka mendapat kerakyatan Malaysia dan menurut rekod-rekod lepas, kebarangkalian permohonan ini diluluskan hanyalah sekitar satu peratus.

“Ironis sekali kerana kerajaan Malaysia pimpinan BN dan PN sepatutnya boleh membetulkan diskriminasi terhadap wanita dan anak-anak apabila dalam kes Suriani Kempe & Ors vs Government of Malaysia, Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 memutuskan bahawa ibu warganegara Malaysia mempunyai hak yang sama seperti bapa.

“Namun sebaliknya kerajaan BN-PN telah memfailkan rayuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut,” katanya dalam satu kenyataan kepada Malaysia Dateline hari ini.

Susulan itu Dr Hafidzah berkata, pihaknya tiada pilihan lain selain terus mendesak kerajaan agar segera meminda perkara 14 Perlembagaan Persekutuan bagi memastikan hak mewariskan kerakyatan wanita warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara terjamin sekaligus menghapuskan sebarang diskriminasi berasaskan gender.

“Kita juga menyeru agar semua Ahli Parlimen sebulat suara menyokong pindaan ini apabila ianya dibentangkan di Parlimen kelak,” katanya lagi.

Baca juga: Lumur je minyak dekat penutup bekas gula, sampai cucu cicit semut tak dapat masuk – Petua wanita ini halau semut paling ‘win’

Baca juga: Kita simpati dengan dia, Hadi ada masalah pemikiran – Mat Sabu