Malaysia Dateline

MP saran kerajaan sediakan panduan untuk orang ramai jika mahu longgarkan SOP pelitup muka

Kerajaan terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) perlu perbaiki penyampaian maklumat kepada orang awam berkenaan kepentingan memakai pelitup muka dan menyediakan panduan yang jelas untuk orang ramai jika kerajaan mahu melonggarkan arahan memakai pelitup muka.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr kelvin Yii berkata, saranan ini dibuat selepas tindakan Bukit Aman yang menarik semula pekeliling bertarikh 20 April lalu yang menyatakan individu tidak memakai pelitup muka di tempat awam tidak akan dikenakan denda lagi.

Menurut Kelvin, walaupun pihak Bukit Aman telah membuat ‘pusingan U’ dengan menarik balik kenyataan mereka, namun tidak dinafikan kemungkinan peraturan wajib memakai pelitup muka mungkin akan dilonggarkan untuk beberapa situasi seperti ketika melakukan aktiviti luar.

Justeru katanya, selepas ini jika ada apa-apa pengumuman berkaitan hal itu, ia perlulah diumumkan terlebih dahulu oleh kementerian kesihatan dan kemudian usaha antara kementerian itu diselaraskan bersama bagi mengeluarkan panduan jelas tentang kepentingan pelitup muka walau SOP sudah dilonggarkan.

“(Panduan) ini termasuklah nasihat untuk kategori kumpulan yang masih perlu meneruskan pemakaian pelitup muka walaupun di luar rumah. Terutamanya mereka yang berhubung rapat dengan kumpulan yang terdedah dengan wabak Covid-19.

“Ini termasuk mereka yang mempunyai imuniti yang tidak berapa kuat atau tinggal bersama seseorang yang mengalaminya. Dalam kes sedemikian, adalah baik untuk terus memakai pelitup muka dan mengekalkan jarak sosial di sekeliling orang yang tidak dikenali, terutamanya di kawasan tertutup.

“Pelitup muka juga penting jika anda tidak divaksinasi atau menghabiskan masa dengan orang lain yang tidak divaksinasi. Orang yang tidak divaksinasi termasuk kanak-kanak berada pada risiko yang sangat tinggi untuk dimasukkan ke hospital,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Kelvin berkata lagi, pada penghujungnya, setiap keputusan sama ada untuk melonggarkan sekatan ke atas SOP Covid-19 walaupun dalam fasa endemik mestilah berdasarkan data dan sains.

Berdasarkan pengetahuan dan data semasa, risiko jangkitan wabak Covid-19 adalah jauh lebih rendah ketika seseorang berada di luar rumah dengan pengudaraan terbuka, berbanding ketika berada di dalam rumah.

Jadi dari segi itu, Kelvin berpandangan, adalah agak selamat untuk tidak memakai pelitup muka jika seseorang berada di luar rumah dan di kawasan yang tidak sesak.

Bagaimanapun beliau berkata, tidak semestinya rakyat Malaysia perlu jadi leka dan beliau masih menggalakkan orang ramai jika boleh, memakai pelitup muka terutamanya di kawasan sesak dan di kawasan dengan pengudaraan yang kurang baik.

“Namun sebelum keputusan sedemikian diumumkan, kerajaan mesti menyampaikannya dengan betul dan memberikan nasihat yang jelas tentang kategori kumpulan yang sangat digalakkan untuk terus memakai pelitup muka walaupun mereka berada di luar rumah,” katanya lagi.

Baca juga: Minta hasil siasatan dari AS isu buruh paksa: Saravanan seperti mahu tutup kelemahan sendiri

Baca juga: Mawar tepis dakwaan sudah berkahwin, mengaku sedang dalam proses berkenalan