Malaysia Dateline

Mujahid selesai isytihar harta RM2.5 juta

Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa selesai mengisytiharkan hartanya bernilai RM2.54 juta.

Beliau yang juga calon Parlimen Parit Buntar berkata, ia sebagai menyahut seruan Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggesa semua pemimpin parti mengikut langkahnya mengisytihar harta.

Aset terbesar yang diisytiharkan membabitkan aset hartanah bernilai lebih RM2 juta yang dimiliki bersama dengan isterinya.

Selain itu, aset kenderaan bernilai RM251,700, simpanan tunai RM153,587 serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM96,000.

“Aset hartanah ini saya miliki bersama isteri merangkumi dua kondominium di Teluk Kumbar Pulau Pinang dan Duta Park Kuala Lumpur (dalam pembinaan) dan sebuah kediaman di Jalan Permai, Parit Buntar dengan nilai keseluruhan RM2.032 juta.

“Keseluruhan aset dan simpanan tunai saya adalah sebanyak RM2,538,930.50,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di Parit Buntar, hari ini.

Mujahid turut mengisytiharkan aset simpanan di Tabung Haji sebanyak (RM643).

Selain itu, Pengerusi PH Perak itu juga memaklumkan pendapatan bulanannya bersama isteri adalah sebanyak RM22,000 dengan jumlah tanggungan bulanan adalah RM17,000.

“Bermakna baki bulanan yang ada untuk dibelanjakan kepada diri dan keluarga sekitar RM5,000.

“Saya bersyukur kerana dalam melaksanakan tugas di peringkat Parlimen, kita ada peruntukan yang diberi dan telah digunakan sebaiknya dengan memastikan peruntukan itu sampai kepada rakyat,” katanya.

Pada PRU15 ini, Mujahid berdepan saingan empat penjuru menentang Imran Mohd Yusof yang mewakili BN, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Baca juga: “Kena pandai bezakan seni dengan content” – Warganet kecewa ada agensi beri peluang kepada Ratu Farah rosakkan industri muzik

Baca juga: Terpaksa jalan kaki sejauh 26km gara-gara LRT rosak, tapi sikap positif lelaki ini buat ramai kagum