Naib Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menyambut baik kenyataan Pengerusi PAC, Wong Kah Woh yang akan memulakan siasatan punca kelewatan Kapal Luar Pesisiran Pantai (OPV) yang sepatutnya diterima dua tahun lalu dari tarikh tempahan tahun 2017.
Mujahid berkata beliau telah membangkitkan isu kelewatan ini pada awal September lalu setelah mendapati pelbagai isu meragukan dalam kontrak rundingan terus bernilai RM739 juta.
Justeru beliau telah mengadakan sidang akhbar pada 2 September, 9, dan 25 September untuk mengutarakan isu berkenaan. Satu kenyataan media rasmi dari Pusat Media PH pada 13 September juga telah membangkitkan isu berkenaan.
“Saya mendapati Syarikat TH Heavy Engineering Berhad (THHE) yang dianugerahkan projek ini adalah sebuah syarikat bermasalah yang berstatus Nota Amalan 17 (PN17) sejak 2017. Dan pada 5 September 2022, THHE telah dinyahsenaraikan dari Bursa Saham Kuala Lumpur (BSKL).
“Syarikat JV THHE bersama Destiny Bhd yang dibuat melalui anak syarikat Destini iaitu Destiny Shipbuilding pula telah diperintahkan oleh mahkamah untuk dibuat “windingup” pada 15 Sept 2022.
“Destiny telah pun menjual bahagian 51 peratus dalam syarikat JV THHE Destiny pada tahun 2021. Semua insiden ini menimbulkan kesangsian kepada cara bagaimana projek ini dikendalikan serta keupayaan THHE untuk siapkan 3 buah OPV disebalik penangguhan yang diberi.
“APMM sangat memerlukan aset ini demi keselamatan perairan negara dalam keadaan kebanyakan aset APMM sudahpun usang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu beliau berharap agar pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) bertanggungjawab dan APMM memberi kerjasama melalui siasatan audit dalamannya supaya memudahkan PAC mengenalpasti pihak yang perlu dipanggil untuk keterangan.
“Rakyat menuntut jawapan sebagaimana yang telah saya bangkitkan dan PAC adalah pihak paling berkelayakan menyempurnakan tuntutan ini,” tambahnya lagi.

Baca juga: Kereta rosak teruk lepas langgar jalan berlubang, lelaki menang saman terhadap pihak berkuasa
Baca juga: ‘Viral’ isu culik pelawak Sabri Yunus teringat kisah Jaafar Tonggek potong kepala budak