Rakyat dilihat teruja untuk turut serta dalam program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, Putrajaya yang akan bermula pada jam 6.30 petang ini.
Program tersebut dijadualkan diisi dengan aktiviti jamuan makan malam diikuti solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat pada 7.15 malam.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) akan menyampaikan amanat khas jam 8 malam yang disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Seterusnya, program di masjid yang terletak di tengah-tengah pusat pentadbiran Kerajaan Persekutuan itu akan diteruskan dengan solat Isyak pada 8.30 malam.
Sementara itu di Facebook rasmi Anwar, lebih 26,000 tanda suka dan kira-kira 2,000 komen sehingga jam 3 tadi mengenai hebahan program tersebut.
“Seronoknya buat macam ni. Satu budaya yang baik kita teruskan untuk tahun-tahun mendatang.
“Sambutan ambang tahun baru kita kembali kepada fitrah untuk lebih mengingati kepada pencipta yang Maha Esa.
“Moga Allah merahmati PM-10 dan semua rakyat Malaysia,” kata Mujahidah Nasuha.
Hal sama juga disebut Zarina Halim dengan menambah negara sebelum ini pun dilanda pelbagai musibah yang mungkin ‘teguran kecil’ dari Allah SWT agar kita semua bermuhasabah diri.
Oleh itu, ujarnya, program dengan pengisian rohani ini adalah sangat baik diteruskan.
“Allahhuakbar. Syukur Alhamdulillah. Sebaik-baiknya sambutlah ambang tahun baharu ini dengan majlis-majlis ilmu yang lebih berfaedah,” ujar Zarina lagi.
Untuk rekod, Masjid Putra yang menjadi lokasi program munajat itu boleh menampung jemaah lebih 8,000 orang di aras bawah manakala aras satu yang menempatkan dewan solat utama jemaah wanita boleh diisi kira-kira 2,000 jemaah pada satu-satu masa.
Masjid dengan kubah utama berwarna merah jambu itu berketinggian 63 meter dari aras lantai dewan solat dengan menara setinggi 116 meter berbentuk bintang lapan penjuru.
Mula digunakan secata rasmi pada 30 Ogos 2000, Masjid Putra kelihatan terapung-apung di permukaan tasik dari arah Jambatan Putra kerana kedudukannya di pinggir tasik Putrajaya.
Terletak bersebelahan kompleks Jabatan Perdana Menteri, masjid ini mempunyai halaman terbuka luas terbentang dihiasi kolam yang memisahkan pintu masuk dengan ruang solat utama Masjid Putra.
Baca juga Walau berhak tidak berkongsi petak sejadah, PM Anwar pilih rapat bahu ke bahu