Malaysia Dateline

Najib gali kubur sendiri, pemimpin Umno jadi cacing kepanasan serang kehakiman

Tindakan Dat Seri Najib Razak bermain pelbagai taktik penangguhan kes ibarat menggali kubur sendiri. Sebelum ini beliau kerap kali mengatakan tidak bersalah dan mengatakan wang SRC yang dicuri sebanyak RM42 juta adalah derma dari Putera Arab.

Namun begitu apabila sampai ke peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan, semua hujah ini tidak lagi diperjuangkan. 

Apa yang diperjuangkan adalah membina persepsi kononnya mahkamah tidak adil, sedangkan dakwaan berkaitan prosiding rayuan itu bersifat prosedural, ia bukan bersifat substantif kes membuktikan ia tidak bersalah. 

Ahli Jawatankuasa AMANAH Nasional, Faiz Fadzil berkata dalam memohon penangguhan, penarikan diri peguam dan permohonan kemasukan bukti baharu adalah perkara prosedural yang mana mahkamah mempunyai budi bicara penuh. 

“Budi bicara yang dilaksanakan oleh Mahkamah Persekutuan telah dibuat dengan adil berdasarkan prinsip kehakiman (judiciously) dan tiada perkara pelik atau luar biasa yang boleh dianggap Najib dinafikan keadilan. 

“Mahkamah dalam mempertimbangkan sesuatu penangguhan akan melihat kepada imbangan keadilan (balance of justice) dan melengahkan prosiding sesuatu kes terkeluar dari ‘ambit’ keadilan (justice delayed is justice denied). 

“Manakala penolakan penarikan diri peguam di saat akhir setelah semua dokumen lengkap adalah amalan biasa di mahkamah kerana menjadi prinsip peguam untuk bersedia dan sanggup (willing and able) mengendalikan kes,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jika peguam datang ke mahkamah dengan alasan tidak bersedia, maka tidak seharusnya peguam bersetuju mengendalikan kes dan ini merupakan salah satu peraturan etika (etiquette rules) peguam.

Tegas beliau lagi, mengenai permohonan mengemukakan bukti baharu, ia dipandu oleh precedent kes Mahkamah Rayuan England R v Parks (1961)3 All ER 633 (kes Parks) yang telah menggariskan 4 ujian (test) keterangan baru iaitu, bukti tersebut mesti tidak tersedia ketika kes dibicara awal, bukti kes mestilah relevan dengan isu, bukti mesti kredibel serta boleh mengubah keputusan sabitan kesalahan. 

Kata Faiz lagi, adalah jelas bukti baharu yang ingin dikemukakan Najib tidak memenuhi ujian tersebut. Kes ini adalah pecah amanah dan sumber wang terbabit tidak relevan. 

Oleh itu jelas beliau, peranan Hakim Datuk Nazlan Ghazali tentang kesalahan pecah amanah tersebut tidak ada kena mengena dengan kedudukan beliau di Maybank sebelum ini dan peranan beliau sebagai General Council Maybank di mana SRC ditubuhkan ketika itu adalah penubuhannya yang tidak melanggari mana-mana peruntukan undang-undang. 

Sepatutnya kata Faiz, Najib mengarahkan peguam untuk meneruskan hujah atas merit rayuan. Namun apa yang berlaku amat mengejutkan apabila pemimpin dan cybertrooper Umno menyerang institusi kehakiman. 

Malah tegasnya, serangan demi serangan yang dibuat pimpinan utama Umno terhadap institusi kehakiman seolah-olah Umno sudah hilang arah seperti cacing kepanasan. Naratif yang dibina oleh pemimpin-pemimpin Umno seolah-olah mahkamah menolak bukti tanpa mengetahui bukti baharu yang ingin dikemukakan merupakan satu fitnah kepada mahkamah dan boleh menjurus kepada satu penghinaan mahkamah (contemp of court). 

Beliau yang juga pengamal undang-undang turut berkata adalah satu tohmahan besar menuduh Mahkamah Persekutuan tidak mahu mengetahui bukti baharu yang ingin dikemukakan. Ianya adalah kerana Mahkamah Persekutuan memutuskan bukti baharu tersebut tidak memenuhi keperluan undang-undang. 

Katanya lagi, menyalahkan dan menyerang kehakiman menunjukkan sikap ‘cavalier’ Umno yang tidak menjunjung prinsip integriti, keadilan dan ‘good governance’. Sebaliknya sumpah laknat (mubahalah) yang dibuat Najib tiada apa-apa nilai keterangan di mahkamah. Seharusnya Najib memperjuangkan pembelaannya di mahkamah dan bukannya pentas agama bagi mengaburi kes korupsi beliau. 

Baca juga: Kerana nak selamatkan Melayu Islam, rasuah pun tak apa!

Baca juga: Terhibur tengok gelagat netizen jual botol air ‘milik’ Billie Eilish di Carousell dengan harga RM1,200