Najib ke penjara: ‘Tiga ibu warganegara kembalikan semangat anak Malaysia merdekakan negara dari petualang’

Oleh ARIF ATAN

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Razak dilihat turut menarik apabila dilihat dari lensa wanita.

Aiman Athirah Al Jundi

Najib yang bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd berdepan dengan lima panel hakim Mahkamah Persekutuan dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Selain Tengku Maimun, dua hakim lagi adalah wanita iaitu Datuk Nallini Pathmanathan dan Datuk Mary Lim Thiam Suan yang dilihat kebetulan mewakili komposisi kaum di negara ini.

Sehubungan itu, Ketua AWAN Nasional, Aiman Athirah Al Jundi berpendapat keputusan Mahkamah Persekutuan yang bersejarah pada hari ini secara tidak langsung menunjukkan peranan kaum Hawa dalam hidup bernegara.

“Malaysia perlukan tiga orang ibu warganegara Malaysia (Melayu, Cina dan India) untuk kembalikan semangat anak-anak Malaysia dan maruah negara ini.

“Terima kasih kepada YAA dan semua panel hakim. Kami rakyat Malaysia kembali bersemangat untuk memerdekakan semula negara kita daripada petualang-petualang negara,” kata Athirah lagi.

Hari ini, panel lima hakim dipengerusikan Tengku Maimun sebulat suara membuat keputusan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapati pembelaan ‘Bossku’ itu tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

“Rayuan ini dengan sebulat suara ditolak dan sabitan dan hukuman dikekalkan.

“Saya dengan ini mengumumkan waran komital (perintah menjalani hukuman penjara),” kata Tengku Maimun memerintahkan prosiding tamat.

Hukuman dialami Najib yang juga Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) mencatatkan sejarah tersendiri apabila menjadi satu-satunya bekas Perdana Menteri Malaysia yang dipenjara atas jenayah pecah amanah, menyalahgunakan kuasa dan pengubahan wang haram.

Najib Razak bersama penyokongnya di perkarangan Istana Kehakiman.

Baca juga Hidup Tengku Maimun! – Rakyat doakan panel lima hakim terus diberi kekuatan

Baca juga Pemanasan global makin serius, Ikon Ais Kutub Utara lihat sendiri banyak bongkah ais pecah dan hancur