Malaysia Dateline

Najib ‘trending’ di Twitter gara-gara rayuan akhir kes seleweng dana RM42 juta

Datuk Seri Najib Razak sekarang menduduki tangga teratas ‘trending’ di Twitter gara-gara permohonannya untuk menangguhkan rayuan akhir kes seleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, ditolak oleh Mahkamah Persekutuan hari ini.

Kira-kira 18,000 ciapan setakat petang ini berkenaan bekas Perdana Menteri di media sosial itu dengan rata-rata rakyat Malaysia dilihat tidak sabar menanti kesudahan bekas Presiden Umno tersebut.

Reaksi orang ramai itu termasuklah sindiran seperti pengumuman dalam MRT, ‘Stesen berikutnya… Sungai Buloh’ dan hari bersejarah untuk ‘check in’ Sungai Buloh.

Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang mempengerusikan panel hakim berkata, walaupun Najib ada hak untuk melantik peguam baharu mewakilinya tetapi Ahli Parlimen Pekan itu tidak boleh menyatakan bahawa peguamnya tidak bersedia dengan rayuan akhir.

Najib menerusi peguam utamanya, Hisyam Teh Poh Teik yang hanya dilantik pada 21 Julai lalu, memohon mahkamah menangguhkan prosiding rayuan akhir kes yang kontroversitu itu.

Hisyam yang baru dilantik pada 21 Julai lalu, memohon budi bicara mahkamah untuk menangguhkan prosiding rayuan akhir selepas mahkamah menolak permohonannya untuk memasukkan bukti tambahan berhubung peranan Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Menurut Hisyam, rayuan akhir bagi Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) itu membabitkan dokumen berjumlah 179 jilid dan keterangan saksi yang ramai.

Sehubungan itu, beliau memohon agar rayuan utama ditangguhkan sekurang-kurangnya tiga hingga empat bulan kerana pelantikannya sebagai peguam utama hanya dibuat bulan lalu.

Mahkamah Persekutuan hari ini menetapkan prosiding rayuan terakhir ‘Bosku’ untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara atas penyelewengan RM42 juta dana SRC itu bermula Khamis, 18 Ogos ini.

Untuk rekod, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Julai 2020, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas mendapatinya bersalah menyalahgunakan RM42 juta daripada dana SRC.

Kes tersebut di peringkat rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan selepas Mahkamah Rayuan pada tahun lalu, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan suami Datin Seri Rosmah Mansor itu.

LANJUT MENYUSUL

Baca juga Najib lantik firma Zaid Ibrahim kendali kes rasuah SRC, rakyat sinis anggap pandai ‘beli’ masa

Baca juga Akibat tercemar dengan asbestos, bedak bayi talkum Johnson & Johnson bakal lenyap di pasaran