Malaysia Dateline

Netflix buang 150 pekerja lepas pertama kali hilang pelanggan dalam tempoh sedekad

Netflix dilaporkan telah memberhentikan sekurang-kurangnya 150 pekerja mereka selepas beberapa minggu syarikat itu melaporkan bahawa mereka kehilangan pelanggan buat kali pertama dalam tempoh lebih sedekad.

Dilaporkan, Netflix mengalami penurunan 200,000 pengguna atau kurang 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan asas pelanggan, namun ia telah mencetuskan panik di Wall Street semasa Netflix melaporkan perolehan suku tahunannya bulan lalu.

Memetik AFP, seorang jurucakap Netflix memaklumkan bahawa pertumbuhan pendapatan yang perlahan menyebabkan mereka juga perlu memperlahankan pertumbuhan kos sebagai sebuah syarikat

Pemberhentian 150 pekerja atau dua peratus dilaporkan sebagai langkah untuk syarikat itu mengurangkan kos, selepas pertumbuhan dalam perkhidmatan penstriman televisyen yang pada satu ketika berkembang kukuh menjadi perlahan.

“Perubahan ini dipacu terutama oleh keperluan perniagaan berbanding prestasi individu, menjadikan ia amat sukar, memandangkan tiada siapa di antara kami mahu mengucapkan selamat tinggal kepada rakan sekerja.

“Kira-kira 150 pekerja diberhentikan, kebanyakannya di Amerika Syarikat (AS).” kata jurucakap itu, sambil menambah bahawa Netflix turut mengurangkan perbelanjaan kontraktor.

Netflix mengakhiri suku pertama tahun ini dengan 221.6 juta pelanggan, kurang sedikit berbanding suku terakhir tahun lalu.

Syarikat itu menyalahkan penyusutan suku tahunan itu kepada penggantungan perkhidmatannya di Russia susulan pencerobohan Moscow ke atas Ukraine.

Ketua Pegawai Kewangannya, Spence Neumann, dalam satu persidangan berkata Netflix akan ‘mengurangkan’ perbelanjaan bagi tempoh dua tahun akan datang, sambil terus melabur berbilion dolar dalam platform.

Firma Silicon Valley itu melaporkan pendapatan bersih AS$1.6 bilion dalam suku baru berakhir, berbanding dengan AS$1.7 bilion dalam tempoh sama setahun sebelumnya.

Netflix percaya bahawa faktor yang menjejaskan pertumbuhannya termasuk pelanggan berkongsi akaun dengan orang yang tidak tinggal bersama di rumah mereka.

Gergasi penstriman itu menganggarkan bahawa walaupun ia memiliki hampir 222 juta isi rumah membayar perkhidmatannya, akaun terbabit dikongsi dengan lebih daripada 100 juta isi rumah yang tidak membayar yuran langganan.

Baca juga: Ini masanya kerajaan tebus kecuaian, bantu pasukan karate langsaikan hutang

Baca juga: Kes HFMD makin tinggi di Malaysia