Malaysia Dateline

Netflix tawar RM20 juta pada 456 peserta ‘Squid Game’ realiti, tiada hukuman mati

Siri popular di Netflix ‘Squid Game’ yang menjadi kegilaan ramai akan dijadikan rancangan realiti di mana seramai 456 peserta berpeluang memenangi wang berjumlah RM20 juta bagaimanapun tiada hukuman mati dikenakan.

BBC melaporkan Netflix sedang mencari seramai 456 peserta bagi rancangan realiti TV yang diinspirasikan dari siri popular Korea Selatan, Squid Game.

Namun, individu yang tidak berjaya tidak akan ‘dihukum’ mati seperti di dalam drama tersebut, sebaliknya akan pulang dengan tangan kosong.

Platform penstriman popular itu memaklumkan bahawa rancangan 10 episod yang bertajuk ‘Squid Game: The Challenge’ itu bakal memaparkan jumlah peserta paling ramai dalam sejarah realiti TV.

Netflix tawar RM20 juta pada 456 peserta 'Squid Game’ realiti, tiada hukuman mati
Peserta kalah tidak akan dihukum mati sebaliknya pulang dengan tangan kosong

“Peserta akan diuji melalui pelbagai permainan menarik yang diinspirasikan daripada drama Squid Game,” kata syarikat itu.

Untuk menyertai rancangan tersebut, peserta perlulah berumur sekurang-kurangnya 21 tahun dan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris.

Tidak cuma itu, peserta juga perlu berkelapangan dalam tempoh empat minggu bermula awal tahun 2023 untuk proses penggambaran.

Terdahulu, Netflix turut mengumumkan bahawa Squid Game musim kedua akan kembali menemui peminat dengan karakter utamanya, Gi-hun yang dilakonkan oleh Lee Jung-je dikekalkan.

Dalam pada itu, pengarah, penulis dan produser drama itu, Hwang Dong-Hyuk turut mengucapkan terima kasih kepada peminat di seluruh dunia yang terus menyokong drama tersebut.

“Squid Game musim pertama mengambil masa selama 12 tahun untuk diterbitkan tetapi ia hanya mengambil masa selama 12 hari untuk menjadi antara siri Netflix yang paling popular.

“Sertai kami sekali lagi untuk ‘pusingan’ yang baharu,” katanya.

Baca juga: KANUN seru semua peguam sertai ‘Walk For Judicial Independence’ esok

Baca juga: Polis siasat kes video TikTok sokong penghinaan Rasulullah