Kadang-kadang, dalam hidup ini, ada beberapa kejadian yang berlaku di luar pemikiran kita, sekali gus mengundang rasa pelik dalam kalangan kita.
Macam satu cerita di Britain, baru-baru ini pihak berkuasa di sana terpaksa memecah pintu masuk sebuah galeri demi ‘menyelamatkan’ seorang wanita yang didakwa tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, usaha mereka untuk menyelamatkan ‘wanita’ itu terhenti di tengah jalan apabila menyedari wanita itu rupa-rupanya adalah patung realistik yang dipamerkan di premis tersebut.
Menurut jurucakap Polis Metropolitan London, mereka bergegas ke Laz Emporium ketika kejadian pada bulan lalu selepas menerima aduan tentang individu yang mengalami kecemasan perubatan.
“Individu yang duduk dalam keadaan kepalanya telangkup dia atas meja rupa-rupanya arca digelar ‘Kristina’ yang dihasilkan artis seni, Mark Jenkins.
“Ada pihak melaporkan ‘wanita’ itu sudah pengsan selama kira-kira dua jam dan kami percaya dia mungkin kena serangan jantung atau terlebih dos pengambilan ubat,” katanya.
Kakitangan galeri itu, Hannah Blakemore juga terkejut apabila melihat polis menyerbu premis berkenaan.
“Tujuan asal penghasilan arca itu adalah untuk memprovokasi dan matlamat Jenkins nampaknya sudah tercapai,” kata Blakemore.
Difahamkan, ia adalah kali kedua pihak berkuasa menerima aduan individu yang bimbang tentang keadaan ‘Kristina’ yang mempunyai nilai kira-kira AS$22,065 (RM97,163), namun ia bukan untuk dijual.
Baca Juga: Zahid beriringan dengan Husam? Kenal pasti langkah awal tangani banjir di Kelantan
Baca Juga: Rafizi akan mempercepatkan program basmi kemiskinan tegar di 5 buah negeri