Selepas dilihat berduyun-duyun menerima kecaman orang ramai, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Aziz secara berseloroh mengaitkan dengan malam Jumaat.
Hantaran Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tersebut di Facebook malam ini selepas dua jam dia memuatnaik dua kenyataan media berhubung kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan kapsyen ringkas, “Stabil”.
Dua kenyataan media itu masing-masing dari Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Ketua Whip Kerajaan.
“Malam Jumaat ni… Janganlah marah-marah. ‘Kan selawat lagi baik? Tunggulah malam esok. Kita mula balik,” katanya tanpa memperincikan maksud ‘mula’ itu.
Nik Abduh yang pernah mendakwa “boleh bercakap” dengan pihak Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat itu turut mengakhiri hantarannya dengan berselawat ke atas Nabi Muhammad S.A.W dan diakhiri dengan catatan, “Insya Allah, 1,000 kali tanda syukur”.
Dalam kerajaan PN yang ditubuhkan susulan pengkhianatan Bersatu dan sekumpulan Ahli Parlimen PKR terhadap Pakatan Harapan (PH), Pas berkongsi kuasa dengan 18 kerusi Parlimen.
Bahkan, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah menyifatkan kerajaan yang dibentuk oleh PN itu dibuat secara tebuk ikut atap bukan ikut pintu belakang.