Malaysia Dateline

Ong Kian Ming tidak mahu jadi calon PRU15

Ahli Parlimen Bangi daripada DAP, Dr Ong Kian Ming hari ini mengumumkan untuk tidak menawarkan diri saya sebagai calon dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, beliau belum bersara daripada politik, sebaliknya hanya berehat untuk sementara waktu termasuk meluangkan masa dengan bersenam dan membaca selepas PRU15.

Kian Ming juga memberitahu ingin merenung semula bagaimana dan di mana beliau dapat memanfaatkan pengetahuan dan kemahiran yang telah dikumpulkannya dalam tempoh sembilan tahun yang lepas dengan sebaiknya.

“Walaupun keputusan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP baru-baru ini memainkan peranan dalam mengesahkan keputusan saya untuk berehat daripada politik barisan hadapan, ia bukanlah sebab utama untuk keputusan ini.

“Ketika saya mula-mula ditawarkan untuk menjadi calon bagi kerusi parlimen Serdang, persetujuan saya dengan isteri adalah untuk saya berkhidmat selama dua penggal dan kemudian menilai semula keadaannya.

“Menjelang penghujung penggal kedua ini, saya percaya bahawa saya telah memberikan yang usaha yang sebaik mungkin di peringkat kawasan, parti dan negara.

“Kini tiba masanya untuk generasi muda dalam parti mengambil alih tampuk kepimpinan,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Untuk rekod, Kian Ming bermula sebagai Ahli Parlimen Serdang sejak 2013 sebelum menyandang kerusi Parlimen Bangi pada 2018.

Mengulas tempoh sembilan tahun beliau berkhidmat sebagai Ahli Parlimen, Kian Ming berkata, pengalaman tersebut mengubah kehidupannya termasuk berpeluang untuk berkenalan dan berhubung dengan individu daripada pelbagai latar belakang.

“Saya juga telah terlibat dalam pelbagai projek dan bergerak ke tempat-tempat di seluruh negara yang saya mungkin tidak akan lawati sekiranya bukan kerana tugas saya sebagai seorang Ahli Parlimen dan Timbalan Menteri,” katanya.

Dalam masa sama, Kian Ming berkeyakinan penuh dengan kepimpinan Anthony Loke sebagai Setiausaha Agung DAP yang baharu dilantik pada 20 Mac lalu.

“Saya menggesa semua ahli dan pemimpin parti untuk menunjukkan sokongan penuh mereka kepada Anthony dan peranan yang akan dipikul beliau dalam menerajui parti dan Pakatan Harapan dalam menghadapi PRU15.

“Saya percaya Anthony dan barisan pimpinan parti akan terus memberikan peluang kepada ahli dan pemimpin yang lebih muda untuk berkhidmat kepada parti dalam pelbagai kapasiti termasuk untuk diletakkan sebagai calon dalam PRU15.

“Saya akan memberikan sokongan penuh kepada sesiapa sahaja yang dinamakan parti sebagai calon P102 Bangi dalam PRU15. Sementara itu, saya akan meneruskan tanggungjawab khidmat rakyat saya di Bangi dan dalam parti sehinggalah parlimen dibubarkan.

“Saya bersedia untuk berkhidmat kepada parti dan negara pada masa hadapan jika khidmat saya diperlukan,” tambahnya lagi.

Baca WAWANCARA: Terus serlahkan DAP parti wakili semua lapisan masyarakat

Baca Wanita kongsi cara kawal anak daripada mengamuk