Orang acah kaya perangai ‘poyo’, pemuda ini kongsi pengalaman bergaul dengan orang kaya yang gaya hidupnya biasa-biasa

Oleh ARIF ATAN

Seorang pemuda menyifatkan hanya orang acah kaya memiliki perangai ‘poyo’ iaitu merasakan diri sendiri bagus atau berlagak.

Sebaliknya, beliau mendapati rata-rata golongan kaya sebenar mempunyai gaya hidup biasa-biasa dan tidak menunjuk-nunjuk di media sosial.

“Bila kita lihat di media sosial sekarang, dengan jenis tayang kereta, tayang emas, rumah, duit. Banyak buat saya refleks diri saya. Orang yang mewah pun ala kadar, kau dan aku yang secebis ni acah-acah pulak,” katanya.

Ikuti perkongsian MUHAMMAD IMRAN ini yang banyak belajar sifat golongan T20 yang menurut resmi padi, semakin tunduk semakin berisi berbeza dengan acah kaya yang mengikut resmi lalang:

Saya ni masih belajar. Hobi saya ialah detailing kereta. Jadi bila cuti semester, saya akan ambil part time detailing kereta.

Kalau ada yang tak tahu detailing tu apa, detailing tu macam polish dan bersih kereta. Saya selalu detail kereta saya sendiri. Tak pernah terfikir nak cari pendapatan sampingan sebab ia sekadar hobi.

Pelanggan pertama yang saya dapat pun tak pernah minta, jumpa melalui kenalan. Orang kaya. Tak tahulah T20 ke apa. Dia ada koleksi kereta mewah. Jadi setiap cuti semester, saya akan ke rumahnya untuk detail kesemua keretanya.

Dia puas hati dengan hasil kerja saya. Jadi, dia recommend pada kawan-kawan setarafnya untuk ambil khidmat saya. Pada mulanya takut, sebab nak detail kereta kereta atas sejuta. Tapi gagahkan diri.

Dapatlah pengalaman dan dapat juga merasa naik keretanya. Saya dah detail bermacam-macam kereta. Pelanggan baik muda dan tua. Apa yang saya dapat dari pengalaman saya ini ialah:

1) Orang yang betul-betul kaya, tak pernah minta kurang. Contoh, saya letak harga RM2,500 untuk satu kereta. Mereka bayar tiada masalah.

2) Bila dia bayar, dia expect kerja tiptop. Kalau kerja tak tiptop, dia takkan maki atau apa-apa, tak marah pun. Cuma itu sajalah kali terakhir dia ambil servis kita.

3) Orang kaya ni bila dia bayar, dia tahu kerja cantik, perfect dan siap. Jangan hassle dan buat kerja ala kadar.

4) Sangat bagus jika kalian ada pelanggan atau kenalan orang kaya, bagus untuk networking. Saya ada borak borak dengan customer saya, ada yang tawarkan intership di syarikat mereka apabila saya habis belajar.

5) Mereka tak kedekut ilmu, saya bebas bertanya bermacam-macam soalan dan minta pandangan, mereka rancak bercerita. Macam seolah-olah mereka suka. Saya berumur 24 tahun.

Jadi, saya banyak bertanya pada pelanggan, hal ehwal ekonomi, politik, perkahwinan, perbankan dan macam-macam lagi. Saya suka bertanya dan belajar. Saya baru setahun jagung, dapat ilmu free daripada orang hebat. Siapa tak nak, ‘kan?

6) Mula-mula kenal mereka, saya rasa rendah diri sangat. Ya lah, kita bukan sesiapa, dapat pelanggan yang high level. Tapi mereka layan saya sebaik mungkin. Menghormati saya. Saya sangat menghargai layanan mereka. Patutlah makin kaya sebab jenis tak riak dan sombong.

7) Boleh dikatakan kesemua pelanggan saya tak pernah ambil gambar dan video kereta post di media sosial, baik tua atau muda. Saya lihat sendiri. Sebab saya ada add mereka di Facebook.

Mereka ini pakai Mclaren, Porsche, Ferrari, Lambo, Aston. Kita pakai Honda dah hari-hari up story tunjuk stereng. Benda ni buat saya reflex diri saya.

8) Saya pernah bertanya pada mereka ni, kenapa tak post di media sosial untuk kongsi hobi pada orang ramai. Jawapan mereka, mereka malu.

Mereka kata, post atau share di media sosial pakai Ferrari, ada lagi orang kaya pakai lebih dari Ferrari. Jadi, mereka rasa malu nak kongsi.

9) Mentaliti mereka agak lain daripada kita. Cara bercakap, pun dah tahu. Mereka lebih banyak dengar dari bercakap.

10) Tak semua orang kaya tu poyo dan berlagak. Ada tu memang ada, tapi orang yang betul-betul kaya duit tak habis, jenis tidur pun duit masuk ni lain gayanya. Macam kau tengok apek Cina pergi masuk kedai pakai seluar pendek selipar jepun, duit dalam bank juta-juta. Ini fakta.

11) Saya juga melihat lifestyle mereka, biasa-biasa je. Nak kata over limit, tiada. Macam kita kita juga, tapi tak pernah pula nampak mereka beli Starbucks atau apa-apa. Beli Nescafe 3 in 1 je bancuh sendiri.

Benda yang ni saya tahu, kebanyakkan bos atau doktor, makan tengah hari pun bawa beka. Kita yang kerja gaji minimum ni lunch di Starbucks. Benda ni juga banyak buat saya reflex diri saya.

12) Saya tengok gaya anak-anak mereka ni, tak sombong. Mereka tegur saya dulu, ajak berborak. Sangat ramah. Tengok telefon mereka pun, saya punya telefon lagi mewah dan canggih.

Ada anak mereka yang masih belajar tu, pun bekerja part time semasa cuti semester. Itu bapak kereta juta ringgit macam Hotwheels pun kena cari duit sendiri. Ini sangat bagus. Berdikari.

13) Untuk pengetahuan, mereka mereka ni kaya dan beli kereta mewah bukan untuk berlumba tengah highway macam kera dapat bunga. Mereka jenis sewa track sehari buat event antara mereka sendiri. Nak pecut ke apa semua dalam track. Benda ni boleh tanya pada para pekerja litar, betul atau tidak. Mereka boleh jawab.

14) Isteri orang kaya, saya lihat tiada beg tangan mewah atau pun rantai emas di tangan. Yang saya nampak gelang silver dan cincin. Itu sahaja. Tiada pandang saya atas bawah, sangat menghormati saya.

Ada jugak dapat customer kononnya orang kayangan, padahal suami bekerja, suami yang kaya. Dia hanya tumpang kaya tapi dia pula lebih sudu dari kuah.

Ada beza mentaliti orang betul-betul kaya dan golongan wanita yang bekerjaya. Saya tidaklah kata surirumah tak elok, jangan salah faham, tapi berdasarkan pengalaman, surirumah yang suami kayalah layan saya teruk. Cerewet dan pandang saya atas bawah, kadang kala bercakap tak pandang muka saya pun.

Saya banyak belajar daripada mengenal golongan kaya, profesional dan high level ni. Yang buruk tu ada, tapi tolak tepi. Saya ambil yang baik sahaja. Surround yourself with high quality people.

Apabila kita lihat di media sosial sekarang, dengan jenis tayang kereta, tayang emas, rumah, duit. Banyak buat saya reflex diri saya. Orang yang mewah pun ala kadar, kau dan aku yang secebis ni acah acah pulak.

Sekarang ni ada kasta B40 dan T20. Saya tidak percaya benda tu. Bukan duit yang melambangkan kedudukan sosial kita tapi mentaliti. Apabila mentaliti elok, automatik nampak bijak dan berpendidikan waima kau kerja tukang kebun sekalipun. Mentaliti dan common sense.

Saya akhiri dengan petikan daripada salah seorang pelanggan saya: “The idea is to be RICH, not to look RICH”

Baca juga Beranak ramai tapi menyusahkan masyarakat, B40 yang biawak hidup dinasihat buat ‘family planning’