Malaysia Dateline

Orang kampung keliru harga sawit menjunam, bayangkan reaksi pegawai kanan kerajaan jika pendapatan dipotong 60 peratus

Semalam, saya pulang ke kampung sempena Aidiladha dan ziarah rumah kakak dan kubur ayah dan emak.

Terdengar rungutan kekeliruan orang di kampung. Antaranya harga buah kelapa sawit yang jatuh daripada RM1300 satu tan kepada tinggal RM500 satu tan sedangkan harga minyak masak daripada sawit terlalu mahal.

Harga upah pekerja juga melambung kerana buruh asing mendapat permintaan yang tinggi. Kerja kelapa sawit meliputi upah membersih rumput dan anak pokok liar di dalam kebun.

Selain itu, perlu membaja, membuang pelepah, menyabit buah, mengisi ke dalam kereta tolak dan menghantar ke tempat kutipan lori, mengangkat buah ke dalam lori, upah lori dari tempat kutipan ke jambatan timbang dan pembeli.

Itu semua adalah kos yang ditanggung pekebun kecil. Jika musim buah tidak lebat seperti semasa musim cuaca terlalu panas ini, pendapatan menjadi kecil.

Kehidupan mereka payah sungguh tetapi mereka masih mampu berkata, ‘Tak apalah, ini saja rezeki’. Mereka tidak menyalahkan sesiapa.

Mereka hanya keliru kenapa harga jatuh sehingga 60 peratus ketika harga minyak masak sawit melambung.

Pekebun kecil sawit tidak ada kuasa nak menyorok buah macam orang dalam industri ayam. Mereka tidak diberi peluang masuk Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya minta subsidi upah buruh macam mereka di industri ayam dapat subsidi makanan ayam.

Saya membayangkan bagaimana agaknya reaksi pegawai-pegawai kerajaan seperti saya dan kawan-kawan lain jika pendapatan kami dipotong 60 peratus sebulan, terutama yang berada pada Gred 54 dan Jusa ke atas yang bergaji lebih RM10,000 sebulan.

Masihkah kami mengaku patriotik dan serba pandai mencari jalan alternatif seperti kita selalu menasihatkan orang kampung?

Adakah kita kekal aman seperti pekebun kecil yang masih berkata, ‘Tak apalah, ini saja rezeki kami’. Adakah kami akan tetap setia kepada kerajaan?

Apa kita akan tulis di Facebook kalau kerajaan potong gaji kita 60 peratus seperti pekebun kecil sekarang hilang pendapatan lebih 60 peratus, dalam keadaan harga barang tinggi, termasuk minyak masak diperbuat daripada sawit?

Baca juga Ini baru kisah 1 Jun, entah apa jadi tiga, empat bulan lagi