Di Indonesia ketika ini, tular satu trend yang menjadi ikutan sebilangan remaja di mana mereka melakukan aksi berbahaya dengan melompat di hadapan lori yang sedang bergerak, untuk dijadikan ‘content’ mereka.
Beberapa rakaman video turut tersebar memaparkan remaja melakukan aksi berbahaya sehingga ada antara mereka yang maut dilanggar lori.
Lapor Agensi, seorang remaja berusia 18 tahun dari Tangerang, wilayah Banten di Jakarta dilaporkan maut minggu lalu selepas melompat di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak laju.
Berdasarkan klip video yang dirakam bagi tujuan kandungan tersebut, mangsa bersama dua rakannya dilihat berdiri di hadapan sebatang jalan sambil menanti sebuah lori menuju ke arah mereka.
“Sejurus lori itu berada hampir dengan mereka, ketiga-tiga remaja itu cuba mengelak, namun mangsa gagal melakukan demikian.
“Dia dilaporkan mati di tempat kejadian akibat dirempuh dan digilis lori tersebut.
“Pemandu lori dilaporkan ditahan untuk membantu siasatan,” lapor Agensi.
Sementara itu, di Bandung, satu lagi kejadian serupa berlaku, di mana dua remaja lelaki dilihat melompat di hadapan sebuah lori yang sedang bergerak laju di sebatang jalan di bandar tersebut.
Seorang daripada mereka berjaya mengelak daripada dilanggar namun rakannya berusia 14 tahun dilanggar lori tersebut.
Polis berkata, kemalangan itu menyebabkan tempurung kepala mangsa retak selain giginya turut patah. Dia masih dirawat di hospital, kata polis.
Baca juga: Menteri Agama nasihat umat Islam tidak hadiri Festival Bon Odori
Baca juga: PRU15: Kluster mahkamah bersabarlah sedikit, kawal inflasi sebelum rakyat ‘mati’