Padah lelaki berlagak samseng ditahan polis setelah disemak ada 11 rekod jenayah

Oleh NASUHA RAHMAN

Tindakan seorang lelaki yang berlagak samseng dengan menumbuk dan mengugut bunuh seorang pengurus di sebuah stesen minyak di dapati mempunyai 11 rekod jenayah.

Lelaki berkenaan kini ditahan pihak polis semalam susulan laporan polis yang dibuat oleh pengurus stesen minyak berkenaan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 34 tahun mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira 5 pagi 22 Julai lalu.

“Menurut mangsa, kereta Perodua Myvi dipandunya diekori suspek yang memandu pacuan roda Ford Ranger sehingga ke stesen minyak terbabit.

“Suspek kemudian terus menumbuk mangsa dan mengugut mahu membunuhnya sekiranya lelaki terbabit menjerit,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohamad Farouk berkata, kejadian itu mengakibatkan mangsa mengalami kesakitan pada pipi kiri dan dirawat di Hospital Ampang.

“Susulan laporan, kami menahan seorang lelaki berusia 36 tahun pada 8.30 malam tadi dan merampas Ford Ranger yang digunakan dalam kejadian terbabit.

“Siasatan awal dilakukan mendapati punca kejadian itu dipercayai kerana suspek menuduh mangsa mengeluarkan kata-kata kesat. Namun, punca sebenar masih dalam siasatan,” katanya dipetik Harian Metro.

Beliau berkata, semakan dilakukan mendapati suspek mempunyai 11 rekod jenayah, namun bukan individu yang dikehendaki.

“Reman terhadapnya akan dibuat hari ini. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 323/506 Kanun Keseksaan atas kesalahan mendatangkan kecederaan serta ugutan jenayah,” katanya.

Baca juga: Tular minyak paket hanyut di Laut Jawa-Netizen persoal kenapa buang? Di sini bukan main susah nak dapat

Baca juga: 3 anggota polis ditahan didakwa ‘ambil’ RM45,000 ketika buat serbuan