Malaysia Dateline

Pakar dakwa vaksin Pfizer cuma lindungi sebahagian daripada Omicron

Seorang profesor di Institut Penyelidikan Kesihatan Afrika mendakwa varian Omicron sebahagiannya boleh mengelak daripada perlindungan imuniti vaksin Covid-19 Pfizer Inc dan rakan kongsi BioNTech.

Ketua penyelidik makmal institut di Afrika Selatan itu, Alex Sigal, berkata terdapat penurunan yang sangat besar dalam peneutralan varian Omicron berbanding strain lebih awal.

Lapor Agensi, makmal tersebut menjalankan ujian darah 12 individu yang menerima vaksin Pfizer/BioNTech, menurut manuskrip yang disiarkan di laman web untuk makmalnya.

Data awal dalam manuskrip masih belum menjalani kajian semula setara (peer review).

Darah lima daripada enam individu yang diberi vaksin serta sebelum ini dijangkiti Covid-19 masih meneutralkan varian Omicron, kata manuskrip tersebut.

Menurut manuskrip itu, mereka memerhatikan penurunan 41 kali ganda dalam tahap antibodi peneutralan terhadap varian Omicron.

Menurut Sigal dalam ciapannya di Twitter semalam, angka tersebut barangkali akan diselaraskan selepas makmalnya melakukan lebih banyak eksperimen.

Sebanyak 43 negara melaporkan kes Covid-19 jangkitan varian baharu Omicron sehingga kelmarin selepas pertama kali dikesan di selatan Afrika bulan lalu.

Daripada 43 negara terbabit, lapan dikenakan sekatan perjalanan sementara, mulai 27 November lalu, manakala lima negara lagi mencatatkan penularan Omicron dalam komuniti.

Lima negara mencatatkan penularan Omicron dalam komuniti ialah United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Australia, Perancis dan Norway.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 26 November mengklasifikasikannya sebagai varian yang dibimbangi (VOC) tetapi berkata tiada bukti bagi menyokong keperluan untuk vaksin baharu yang direka khusus untuk menangani varian Omicron.

Di Malaysia, mulai hari ini melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan pencegahan penularan Covid-19 khusus ke atas pengembara yang tiba di Malaysia mengikut beberapa kategori.

Mereka membabitkan pengembara bagi Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) Udara dan Darat, Gelembung Pelancongan Antarabangsa Langkawi (LITB) serta Pusat Sehentian (OSC) pelawat perniagaan jangka pendek masing-masing di Kategori 1, 2, 3 dan 4.

Selain itu, pengembara dari negara dikenakan sekatan perjalanan sementara dan melaporkan penularan Omicron dalam komuniti, masing-masing disenaraikan ke dalam Kategori 5 dan 6.

Pada 3 Disember lalu, Malaysia mengumumkan kes pertama Omicron membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.