Malaysia Dateline

Pandu kereta lepas stereng salah di sisi undang-undang, PDRM keluarkan larangan guna auto pilot di Malaysia

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini melaporkan pihak PDRM akan membuka kertas siasatan berhubung video tular membabitkan satu pasangan dari Singapura yang menggunakan mod sistem pemanduan sendiri (auto-pilot) pada kereta Tesla Model 3 semasa menuju ke Pulau Pinang.

Portal Guang Ming Daily melaporkan pihak PDRM juga telah mengeluarkan kenyataan larangan penggunaan auto-pilot di Malaysia.

Ketua Penolong Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Superintendan, Dr Bakri Zainal Abidin menjelaskan  walaupun Malaysia tidak menggubal peraturan berkaitan sistem bantuan pemanduan auto-pilot, sistem ini tidak membantu pemandu menumpukan perhatian sepenuhnya pada pemanduan.

“Ini mungkin akan menyebabkan pemandu kurang memberi perhatian kepada lalu lintas di sekeliling mereka, sebaliknya pemandu menghabiskan masa dengan perkara lain yang mengganggu fokus mereka, seperti menggunakan telefon bimbit semasa memandu,” terang beliau.

Tambahnya lagi, di bawah Akta Trafik Darat 1959 ada menyatakan bahawa pemandu perlulah memandu dengan baik, berhati-hati dan menumpukan perhatian.

Jadi setiap pemandu perlu sentiasa memberi perhatian di jalan raya walaupun semua kenderaan pada masa hadapan akan dilengkapi dengan fungsi pemanduan auto-pilot, supaya pemandu masih boleh mengelakkan kemalangan sekiranya sistem ini gagal berfungsi dengan baik.

Dr Bakri memaklumkan bahawa sistem ‘bantuan pemanduan automatik’ Tesla termasuk ciri keselamatan dan kemudahan canggih, tetapi ia perlu dibeli secara berasingan, di mana pemilik yang membeli kereta melalui akaun Tesla, dia boleh memilih untuk membeli pakej sistem tambahan automatik atau sistem pemanduan automatik sepenuhnya (FSDC).

Jelas beliau lagi, sistem pemanduan yang disebutkan di atas membolehkan kereta Tesla memandu, memecut dan brek secara automatik di jalan raya, tetapi sistem ‘bantuan pemanduan automatik’ semasa masih memerlukan pengawasan pemandu dan bukanlah pemanduan auto-pilot sepenuhnya.

“Fungsi sistem auto-pilot pada kereta Tesla memang sangat membantu pemandu, tetapi ia tidak bermakna pemandu boleh melepaskan tangan sepenuhnya dari stereng dan menganggap bahawa sistem itu boleh mengawal kereta secara automatik dan selamat,” terang Dr Bakri lagi.

Untuk rekod, pasangan warga Singapura itu adalah antara pengunjung yang mengambil kesempatan daripada pembukaan semula sempadan pada 1-April-2022. Pasangan itu meninggalkan Singapura pada tengah malam untuk menuju ke Pulau Pinang.

Di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan, pemandu memutuskan untuk mempamerkan sistem Autopilot Tesla Model 3 miliknya. Klip TikTok yang dimuat naik itu telah menjadi tular sehingga mendapat perhatian pihak berkuasa.

Pemandu itu kini disiasat berdasarkan Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tak-akan-berkompromi-ph-gesa-ismail-beri-jaminan-ruu-anti-lompat-parti-dibentang-dalam-masa-terdekat/

Baca juga: https://themalaysialife.com/ini-adalah-5-risiko-yang-anda-akan-hadapi-jika-tidur-selepas-sahur/