Malaysia Dateline

Pas dukacita Zahid tarik sokongan terhadap Mahiaddin

Selepas dua hari Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menarik sokongan terhadap Perdana Menteri, Pas hari ini meluahkan rasa dukacitanya.

Timbalan Presidennya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man melahirkan perasaan itu mengulas langkah Ahmad Zahid yang mengarahkan Ahli-Ahli Parlimen Umno menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dipimpin Mahiaddin Md Yasin.

Beliau yang juga Menteri Alam Sekitar dan Air tersebut berkata, tindakan Ahmad Zahid itu tidak selari dengan semangat penyatuan ummah seperti termaktub dalam piagam Muafakat Nasional (MN).

“Ia secara tidak langsung akan menggugat perancangan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dan usaha menangani penularan wabak Covid-19 serta usaha membantu rakyat yang terjejas teruk kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walau bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, Pas kekal yakin dengan asas penubuhan MN bersama Umno yang termeterai piagamnya pada 14 September 2019.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu berkata, penubuhan MN yang bermatlamatkan kesatuan ummah serta membina kekuatan politik Melayu Islam perlu terus dipertahankan demi kestabilan politik, keharmonian kaum dan kesejahteraan negara.

Semalam, Tuan Ibrahim berkata, Pas masih mendukung kerajaan PN dan kepimpinan Mahiaddin dan berharap seluruh rakyat Malaysia bersabar serta memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid-19.

Beliau juga menegaskan sebarang kenyataan mengenai pendirian Pas terhadap kemelut politik semasa hanya akan dikeluarkan oleh Presiden dan Setiausaha Agung sahaja.