Malaysia Dateline

Pas masih dukung kerajaan PN, harap rakyat bersabar

Pas menegaskan masih mendukung kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Mahiaddin Md Yasin.

Timbalan Presidennya, Datuk Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam masa sama Pas memberi tumpuan bagi menangani penularan Covid-19 melalui strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang digerakkan oleh kerajaan.

“Pas juga akan terus komited untuk membantu rakyat yang terkesan dalam menghadapi keadaan yang sukar ini.

“Justeru, diharapkan seluruh rakyat Malaysia bersabar dan memberikan kerjasama ke arah usaha menangani Covid-19,” kata beliau dalam kenyataannya sebentar tadi.

Walau bagaimanapun, Menteri Alam Sekitar dan Air itu mengakui sebarang kenyataan mengenai pendirian Pas terhadap kemelut politik semasa hanya akan dikeluarkan oleh Presiden dan Setiausa Agung sahaja.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu diedarkan kepada media ketika Mahiaddin pagi tadi menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Pertemuan Mahiaddin selama hampir satu jam itu berakhir sejurus kenderaan membawanya keluar dari pintu utama Istana Negara kira-kira jam 11.50 pagi.

Kemelut politik negara serentak dengan lonjakan penularan membimbangkan kes Covid-19 dilihat mengundang kemarahan rakyat sehingga tanda pagar #KerajaanTumbang sohor kini di media sosial.