Malaysia Dateline

Pelajar cedera tangki air pecah, rakyat desak menteri ‘tengokkan’ sekolah uzur

Rakyat mendesak Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin memberi perhatian terhadap bangunan dan infrastruktur di sekolah-sekolah lama bagi mengelak perkara yang tidak diingini.

Reaksi orang ramai itu susulan tangki air pecah dan menimpa laluan siar kaki Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Melor, Kota Bharu yang menyebabkan beberapa pelajar cedera.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SMK Melor berkata, pihak KPM perlu melakukan pemeriksaan berkala di semua sekolah agar kejadian sama tidak berulang.

“Saya mengharapkan pihak-pihak berkenaan terutama KPM mengambil tindakan segera agar pembelajaran anak-anak pelajar tidak terganggu,” katanya di ruang komentar Facebook rasmi, Radzi.

Menurutnya, dalam insiden yang berlaku tadi, seramai enam orang cedera iaitu lima pelajar dan seorang wanita dipercayai ibu pelajar yang sedang berurusan di sekolah itu.

Hal penyelenggaraan di sekolah yang mempunyai struktur bangunan lama dan usang bagi menjamin keselamatan pelajar, guru serta kakitangan juga dibangkitkan Mohd Khairol.

“Banyak sekolah lama yang infrastrukturnya telah uzur termasuklah keadaan kantin dan tandas terutama sekolah yang telah beroperasi sejak sebelum merdeka lagi,” katanya.

Bagi Azman Ishak pula, Menteri Pendidikan perlu memasukkan peruntukan bagi tujuan penyelenggaraan sekolah dalam belanjawan tahunan negara.

“Penyelenggaraan terhadap semua sekolah usang perlu dilaksanakan bagi mengelak malapetaka keatas pelajar,” tegasnya lagi.

Baca juga Silibus sekolah rendah tahap merapu, cikgu ini dedah sikap ‘babil’ orang atas

Baca juga Ingatkan puluhan ribu ringgit, rupanya gaji Arif Aiman hanya RM11,000