Pelancaran dan penamaan kapal LCS belum siap rupanya tradisi dalam TLDM

Oleh KIM SYAZIE

Pelancaran dan penamaan sesebuah Kapal Tempur Pesisir Pantai (LCS) yang belum siap sepenuhnya sudah menjadi tradisi sejak sekian lama dalam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Seorang bekas Panglima Tentera Laut, Tan Sri Dr Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin menerusi satu kenyataan terbuka hari ini menjelaskan, tradisi itu bukan sahaja diamalkan oleh TLDM, bahkan ia juga menjadi amalan biasa di negara-negara lain.

Beliau berkata, penjelasan yang dibuatnya itu merupakan fakta sebenar untuk melindungi maruah TLDM dan supaya orang awam tidak terus keliru dengan kenyataan sesetengah pihak.

Beliau turut memetik penjelasan Kapten (B) Ir. Azhar Jumaat dalam sesi menghadap PAC pada 11 Disember 2021 lalu, yang berbunyi: ‘Daripada segi tradisi, we call launching dengan naming ini hanya melibatkan satu aktiviti tradisi yang melibatkan kapal-kapal perang sahaja. Justeru, untuk aktiviti launching dan naming itu, daripada segi tradisi dan praktis itu, memang ia dipraktikkan sebelum ini juga’.

“Jadi, tuduhan kononnya pelancaran LCS di Lumut pada tahun 2017 dilaksanakan untuk tipu dan kelirukan orang ramai adalah tidak benar.

“Malah, saya perlu beritahu orang ramai bahawa yang dilancarkan di Lumut ketika itu ialah kapal LCS 1 sebenar yang sedang dalam proses pembinaan bukan dummy. Ini termasuk ‘mast’ yang yang dikhabarkan palsu. Semua ini turut dijelaskan semasa sesi PAC sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan panjang.

Menurut Ahmad Kamarulzaman lagi, pelancaran kapal LCS yang dibina oleh Naval Group untuk Kerajaan UAE di Perancis juga menggunakan kapal yang belum siap sepenuhnya.

Jadi, beliau berharap tidak ada pihak sengaja menimbulkan isu demi kepentingan sendiri sehingga sanggup mengelirukan orang ramai.

Laporan PAC sebelum ini mendedahkan LCS yang pernah dilancarkan pada 2017 sebenarnya dalam keadaan tidak siap.

Pengerusi PAC, Wong Kah Woh, dipetik berkata berdasarkan prosiding dijalankan, pihaknya mendapati LCS 1 disahkan siap tidak sampai 44 peratus.

Justeru, beliau merumuskan bahawa upacara penamaan dan pelancaran LCS terbabit seperti dinyatakan saksi hanya memberi persepsi kepada umum bahawa kapal berkenaan sudah siap.

Baca juga: Pencarum LTAT boleh saman menteri dalam isu LCS, kata peguam

Baca juga: LCS: Jangan terpedaya naratif palsu BN, PH tidak buat apa-apa masa 22 bulan, ini buktinya