Pemandu buat ‘keras’ tak mahu berganjak walau kena hon dengan bas Rapid KL

Oleh KIM SYAZIE

Tindakan seorang pemandu yang pentingkan diri dengan memberhentikan kereta di bahu jalan raya sehingga mengganggu laluan bas awam dan kenderaan lain, mengundang kecaman ramai.

Menerusi video berdurasi satu minit yang tular di media sosial, sebuah kereta Perodua Myvi dilihat memberhentikan kereta di tepi hentian bas di ibu kota sehingga menyebabkan kesesakan.

Kereta berkenaan yang diberhentikan di kawasan tidak mempunyai petak parkir itu telah menghalang bas Rapid KL daripada melalui laluan itu yang kemudian menyebabkan hon panjang dibunyikan kepada kenderaan tersebut.

Bagaimanapun pemandu Myvi berkenaan tidak mengendahkan hon tersebut dan membiarkan kenderaannya menghalang laluan.

Orang awam juga dilihat terpaksa menghampiri pemandu itu untuk memintanya jalan ke hadapan kerana dia telah menghalang laluan, namun pemandu itu tetap berdegil.

Dia cuma menggerakkan kenderaan sedikit ke hadapan tetapi masih lagi menghalang laluan sebelum berlalu pergi selepas sekali lagi ditegur orang awam agar meninggalkan laluan itu.

Situasi tersebut telah mengundang kecaman ramai di media sosial. Mereka berpakat menyebarkan nombor plat kereta Myvi dan mendedahkan nama pemilik kereta tersebut.

Pada masa sama, orang ramai turut mengkritik beberapa buah kereta yang meletakkan kereta di petak parkir yang dikhaskan untuk laluan bas kerana rakaman tersebut juga jelas memperlihat bas tiada tempat untuk mengambil dan menurunkan penumpang kerana parkir diambil oleh kenderaan lain.

“Selain Myvi VBJ tu, yang berbaris ni semua sama perangai buruk. Jelas situ laluan bas kan. Nak ambil orang tapi kalau belum sampai, pusing lah banyak kali. Jangan menunggu situ lama-lama halang bas. Orang yang nak diambil dah sampai baru berhenti,” komen pengguna Twitter.

Baca juga: Kekuatan Muda sudah disaksikan di Johor, PH wajar pertimbang terima penyertaan Muda – Pemuda AMANAH

Baca juga: Ribuan rakyat berebut ambil gambar dua pelangi muncul di atas Istana Buckingham selepas pemergian Ratu