Malaysia Dateline

Ini nasihat pemilik Farm Fresh buat usahawan, jangan tambah komitmen bila ‘bisnes’ baru naik setahun dua

Siapa yang tidak kenal dengan produk tenusu Farm Fresh yang saban hari mula mencipta nama bersaing dengan produk-produk tenusu lain di pasar raya besar. Boleh dikatakan Farm Fresh kini amat dikenali dalam masyakat bahkan boleh berdiri setanding dengan jenama Dutch Lady.

Sebelum sampai ke tahap ini, tentunya mereka sudah mengharungi pelbagai jenis rintangan seperti kekurangan modal dan kurang mendapat kepercayaan daripada pasar raya tempatan pada awal pengenalannya. Namun, di sinilah mereka hari ini, berjaya menempah nama dalam industri yang penuh mencabar.

Berkat dari pengalaman yang diperoleh, pengasas produk tenusu Farm Fresh, Azmi Zainal berkongsi sedikit nasihat kepada usahawan-usahawan yang menjalankan perniagaan mereka sendiri.

Berdasarkan pengalamannya sendiri, Azmi berkata dalam dunia perniagaan ada pasang surutnya. Semua perniagaan mengalami senario ini tidak kira perniagaan kecil mahupun besar.

Bagaimanapun Azmi mengingatkan, perkara paling penting yang perlu dielakkan adalah menambah hutang peribadi ketika perniagaan baru sahaja naik setahun dua.

Komitmen peribadi ini termasuklah menukar kereta baharu, menaiktaraf kediaman kepada banglo mewah atau pun menaikkan gaji sendiri.

Untuk penerangan lebih jelas, kami kongsikan pesanan penuh Azmi Zainal yang dikongsi di Facebook miliknya

Saya nak nasihat sikit pada usahawan-usahawan bimbingan saya. Nasihat percuma dari pengalaman yang telah saya lalui supaya anda semua kekal dalam bisnes dan boleh mencari rezeki buat keluarga.

Bisnes ini ada trend. Ada trend menurun dan trend menaik. Ini perkara biasa dalam bisnes, semua bisnes mengalami senario ini. Tak kiralah bisnes kecil ka bisnes besar ka atau bisnes mega ka.

Bagi bisnes-bisnes kecil atau mikro atau SME, bila bisnes naik dalam setahun dua tu janganlah tambah komitmen peribadi. (Jangan) tukar kereta baru, tukar Alphard, beli rumah, buat rumah banglo atau invest buat bisnes baru atau sengaja tambah gaji kita.

Masa awal-awal ni simpan dan kumpul lah duit untung tu untuk tambah modal atau perkukuhkan bisnes sedia ada atau jadikan reserve fund di kala trend bisnes menurun. Kalau kita bersedia dengan ini semua insyaallah bila trend menurun sampai, kita mudah mengharunginya.

Bila trend tengah menaik tu jangan pula cepat lupa diri, konon kita pandai sangat meniaga. Apatah lagi kaki kipas atau kawan-kawan atau sedara mara datang memuji-muji kita, kita pun hanyuuuutttt. Jadi bongkak serta alpa.

Bila trend menurun tiba, kerja kena lebih kuat dari biasa bukannya bersungut lebih atau salahkan mana-mana orang atau salahkan musim, salahkan laki atau salahkan bini. Pendek kata semua salah.

Bila trend menurun sampai lupakanlah cuti-cuti tu. Tahan nafsu sementara. Jumpalah kawan-kawan yang positif, duduk borak-borak dengan dia, insyaallah aura positif dia boleh melekat kat kita. Kalau nak aura positif yang banyak boleh pergi masjid. Berjuta-juta aura positif ada kat dalam tu.

Baca juga: Bonet Lamborghini tak muat: ‘Van jenazah luas, boleh letak banyak duit’

BAca juga: Nama calon PM PH ‘meletup’ di Twitter menjelang hari penamaan calon