Pemilik tunggal kontraktor balak Darul Najah keluarga Exco Kelantan, awas kambing hitam

Oleh BORHAN AHMAD

Pengerusi Save Kelantan, Datuk Husam Musa mendakwa, pemilik tunggal Al Dar Resourcess Sdn Bhd yang mendapat kontrak untuk menebang balak milik Daulah Najah, anak syarikat kerajaan negeri, mempunyai hubungan keluarga dengan Exco Kerajaan Kelantan, Datuk Hanifa Ahmad.

Dalam postingnya di Facebooknya awal malam ini, Husam mendakwa, pemilik tunggal Al Dar Resourcess adalah Mohamad Haffiz bin Mohd Rasdin yang memiliki 1,000,000 share syarikat berkenaan.

“Kontraktor balak Daulah Najah adalah Al Dar Resourcess Sdn Bhd. Luas kawasan – 700 ekar. Hasilnya mungkin mencecah lebih RM10 juta.

“Pemilik tunggal Al Dar Resourcess Sdn Bhd adalah Encik Hafiz dari Salor. Secara kebetulan, beliau bersepupu dengan isteri anak saudara kandung YB Hanifa.

“Mereka dikatakan mempunyai hubungan yang amat rapat. Anak YB Hanifa yang umurnya lebih muda dari Encik Hafiz dilihat selalu berfoto bersama,” dakwa Husam dalam postingnya itu.

Carian di SSM mendapati pemilik tunggal Al Dar Resources Sdn Bhd adalah Mohd Haffiz Mohd Rasdin.

Dua hari lepas Husam mendedahkan, Daulah Najah Sdn Bhd, anak syarikat Perbadanan Menteri Besar Kelantan mendapat konsesi untuk menebang balak di kawasan Hutan Simpan Hutan Dara atau Virgin Jungle Reserve – VJR di Hutan Simpan Nenggiri, Gua Musang, yang sepatutnya dijaga dari diganggu.

Semalam Husam mendedahkan, Jabatan Perhutanan Semenanjung menyita kayu balak bernilai RM5 juta yang terdapat di sebelah matau Darul Najah itu.

Hari ini Husam mendedahkan gambar-gambar jentera berat yang digunakan untuk membalak turut disita.

Hari ini juga, Husam mendedahkan pula siapa pihak yang mendapat kontrak dari Darul Najah itu dan pemilik syarikat berkenaan.

Save Kelantan mendedahkan jentera berat yang disita oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung.

“Secara kebetulan pula, Encik Hafiz adalah anak saudara YB Adun Salor (Saiful Adli Abu Bakar – Pas).

“Secara kebetulan pula, kompartmen 25 HSK Nenggiri yang disyaki berlaku kecurian balak berharga mahal, berada bersebelahan konsensi balak yang diusahakan oleh Al Dar Resourcess.

“Secara kebetulan juga, kompartmen 26 HSK Nenggiri sebagai hutan perlindungan yang dipanggil Hutan Dara Perlindungan (VJR) termasuk dalam kawasan yang diluluskan untuk diusahakan oleh Al Dar Resourcess,” kata Husam.

Beliau tidak pasti adakah Daulah Najah memberikan konsensinya untuk dibalak oleh Al Dar Resourcess secara tender terbuka, tender runding atau apa.

“Kalau tak ada bunyi tender dibuka, mungkin boleh kita fahami ia diberikan secara rundingan senyap.

“Bila badan sudah bertuah, akan banyak berlaku kebetulan-kebetulan,” katanya.

Menurut amalan demokratik, kata Husam, lazimnya memerlukan ketelusan, penjelasan dan tanggung jawab awam.

“Pihak pemegang amanah awam wajib memberikan penjelasan.

“Antara penjelasan itu ialah, berapakah hasil balak dari konsensi ini diperolehi oleh Daulah Najah?

“Namun, saya dok agak akan ada kambing hitam dipaksa mengaku perbuatan curang ini.

“Bunyi khabar, sedang diatur,” kata beliau postingnya hari ini.

POSTING BERKAITAN

Siapa curi balak RM5 juta sebelah konsensi Daulah Najah, tanya Husam

Mengejutkan: Harapkan kerajaan jaga Hutan Simpan Kekal, anak syarikat kerajaan sendiri terokainya di Kelantan