Malaysia Dateline

Pemimpin DAP tak lepas peluang beri sumbangan bantuan Ramadan

Memasuki hari ketiga Ramadan, bantuan terus disalurkan oleh wakil-wakil rakyat kepada keluarga yang serba kekurangan. Tidak terkecuali, pemimpin DAP turut menunjukkan komitmen bagi membantu rakyat menempuhi Ramadan kali ini dengan penuh kecukupan.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh mengakui sepanjang dua tahun yang lalu, ramai terpaksa menyambut Ramadan dalam serba kekurangan dan berhadapan dengan cabaran getir mengharungi puasa dalam tempoh pandemik.

Justeru bagi terus meringankan beban ditanggung penduduk sekitar, Hannah berjaya menghadiahkan bakul Ramadan kepada 150 buah keluarga di sekitar Parlimen Segambut.

“Menumpang kegembiraan dan demi hasrat untuk berkongsi kemeriahan bulan puasa pada tahun ini, semalam, pejabat saya telah menghadiahkan bakul Ramadan kepada 150 keluarga di Kampung Segambut Bahagia, Kampung Masjid Segambut dan Kampung Sungai Penchala,” ciapnya di Twitter.

Menerusi gambar yang dikongsikannya, dapat dilihat Hannah menyerahkan berkotak-kotak bantuan bakul Ramadan berupa telur, sayur-sayuran, biskut, maggi dan makanan bertin.

Sementara itu menjengah ke Facebook Ketua Pemuda DAP yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee, beliau turut memberi sumbangan Ramadan dengan memberi bantuan berupa barangan persekolahan.

Menerusi Program Kembali Ke Sekolah yang dilancarkannya Sabtu lalu, seramai 180 murid menerima manfaat dari sumbangan yang disalurkan.

“Harapnya dapatlah ini memberikan keriangan kepada anak-anak ini untuk sambung sesi persekolahan dengan kelengkapan pendidikan yang baharu.

“Program Kembali Ke Sekolah ini memanfaatkan sekitar 180 kanak-kanak sekolah daripada 16 buah sekolah di dalam Parlimen Ipoh Timor dan DUN Pasir Pinji,” tulisnya.

Hannah Yeoh memberi bantuan bakul Ramadan kepada penduduk di Segambut

Hannah Yeoh bersama penduduk

Howard Lee menemani ibu bapa beli keperluan sekolah

Baca juga: https://malaysiadateline.com/tol-empat-lebuhraya-tidak-naik-ph-mulakan-proses-ringankan-beban-rakyat/

Baca juga: https://themalaysialife.com/guru-agama-dihukum-mati-selepas-hamilkan-8-daripada-13-pelajarnya/