Malaysia Dateline

Pemimpin paling kanan selepas Presiden Umno jadi calon tunggal PM, kata Azalina

Calon Perdana Menteri BN akan turut disokong sejumlah parti tertentu untuk mendapat sokongan melebihi majoriti 111, kata Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

Menurutnya, semua Ahli Parlimen BN dalam mesyuarat malam tadi dimaklumkan tentang hal tersebut dan menyokong Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon tunggal Perdana Menteri.

Katanya, Ismail Sabri dipilih memandangkan beliau antara pemimpin paling kanan selepas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi Kelab Penyokong BN (BNBBC), Datuk Seri Najib Razak.

“Beliau juga bekas Timbalan Perdana Menteri. Dari segi itu, beliau dilihat boleh mendapat sokongan kami semua. Kami harapkan yang terbaik,” lapor BH.

Azalina yang juga bekas Timbalan Speaker Dewan Rakyat mengakui kerajaan baharu yang perlu ditubuhkan mesti dalam bentuk gabungan dan memerlukan kerjasama berpasukan.

Hal itu, jelasnya, penting bagi memberi tumpuan dalam menguruskan pandemik Covid-19.

Turut mengesahkan nama Ismail Sabri yang akan dipersembah kepada Yang di-Pertuan Agong, sebelum jam 4 petang ini ialah Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Bekas Pengarah Pilihan Raya Umno itu berkata, Ismail Sabri sudah mendapat jumlah sokongan melebihi majoriti 111 yang diperlukan untuk membentuk kerajaan baharu.

Untuk menjadi Perdana Menteri, sekurang-kurangnya sokongan majoriti mudah 111 daripada Ahli Parlimen diperlukan bagi menubuhkan kerajaan baharu.

Pada masa ini, Dewan Rakyat mempunyai 220 Ahli Parlimen daripada 222 kerusi kerana dua kerusi lagi masih kosong berikutan kematian penyandangnya.

Selain Ismail Sabri, empat lagi pemimpin politik disebut-sebut sebagai bakal calon Perdana Menteri.

Mereka ialah Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Semporna), Hishammuddin Hussein (Sembrong) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang).