Malaysia Dateline

‘Gaji menteri letak basic saja RM1,500, biar rasa kepala rakyat berdenyut’ – Awas, ahli politik! Ini apa pengundi muda mahu

Rata-rata pengundi muda mahu supaya jumlah gaji menteri sejurus selepas PRU-15 nanti dirombak secara besar-besaran dengan pemotongan elaun yang dianggap terlalu tinggi tidak padan dengan status negara.

Mereka berpendapat tidak guna menteri dengan bilangan yang ramai nanti memperoleh pendapatan melampau banyak ketika sebahagian besar rakyat yang bergaji rendah terus hidup tertekan dihimpit dengan lambungan kos sara hidup.

“Setiap menteri bagi saja gaji basic RM1,500, elaun kedatangan RM100, mesti jimat banyak lagi,” tempelak Ahmad Fadhullah dipersetujui ratusan warganet lain dalam tempoh singkat.

Menurutnya, elaun dan pelbagai kemudahan dinikmati menteri jauh lebih besar daripada gaji dengan menjalani urusan hidup secara percuma lantaran ditanggung kerajaan.

Oleh sebab itu, beliau berpendapat ramai mahu berlumba bertanding dalam pilihan raya seterusnya berebut jawatan menteri apabila terbentuknya kerajaan.

“Biar mereka rasa apa yang kita rasa… baru ada akal,” kata Anna Chua.

Hal sama turut disuarakan Alif Irfan dengan mengecam gaya hidup mewah dinikmati menteri, timbalan dan sebahagian Ahli Parlimen dengan banyak benda boleh mereka claim.

Itu belum termasuk lagi puluhan ribu ringgit duit pencen diperoleh ketika rakyat ramai yang terpaksa mencari duit dengan kudrat yang ada sehingga tua renta demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Biar dia rasa macam mana kepala rakyat berdenyut. Rakyat nak hidup dengan RM1,500, sana sini berbayar.

“Dia dah menang, kroni-kroni tumpang senang. Kerja kipas lipas je. Rakyat yang bawahan ni minta naik gaji pun tiada siapa layan.

“Tapi dah naik RM1,500, habis semua (harga barangan dan makanan) dinaikkan. Mereka semua free,” tempelaknya.

Mungkinkah hampir 7 juta pengundi baharu termasuk kira-kira 1.4 juta Undi18 akan menghukum ahli politik yang tak berguna?

Untuk rekod, pencen seorang Ahli Parlimen jika digabungkan dengan jawatan-jawatan yang dipegang sepanjang perkhidmatannya boleh mencecah RM100,000 sebulan.

Lebih lama perkhidmatan seseorang Ahli Parlimen maka lebih tinggi bayaran pencen yang diperoleh mereka kerana pembayaran itu tidak mengambil kira statik gaji.

Sementara itu, Azrin Wahab pula menyarankan supaya gaji baharu Ahli Parlimen dan Menteri nanti adalah berdasarkan jumlah kehadiran di Parlimen.

Hal ini memandangkan ada Ahli Parlimen dalam penggal lalu hadir hanya 28 hari daripada 89 hari sidang Dewan Rakyat.

“Ada yang isytihar aset sampai berjuta-juta ringgit. Masuk Parlimen entah berapa kali, banyak memonteng. Bagi elaun puluhan ribu pun masalah rakyat tak selesai. Lebih baik beri elaun base on kedatangan lagi bagus,” ujarnya.

Bulan lalu, ahli akademik telah mengingatkan pentingnya kerajaan mempunyai komitmen tinggi untuk mencari jalan penyelesaian terhadap banyak permasalahan struktur yang sekian lama dialami negara ini.

Pengakuan pakar itu dilihat sekaligus menggambarkan kegagalan Ahli Parlimen dan menteri sejak sekian lama melaksanakan polisi dan dasar negara yang mapan untuk melahirkan masyarakat yang sejahtera.

Dalam forum anjuran Akademi Profesor Malaysia (APM) itu, antara 15 permasalahan struktur tersebut ialah kerentanan pendapatan rakyat yang menjejaskan kualiti kehidupan, hutang isi rumah yang tinggi serta kelemahan governans dan integriti.

PRU15 menempa sejarah dalam proses demokrasi di negara ini apabila buat julung kalinya pemilih bawah usia 21 tahun didaftar secara automatik sebagai pengundi.

Sebanyak 34 peratus pemilih baharu daripada lebih 21 juta pengundi akan membuang undi pada 19 November ini.

Mereka antara kira-kira 3.8 juta pengundi muda berusia 18 tahun ke atas, iaitu generasi Z yang lahir dan membesar semasa era letusan teknologi maklumat (IT).

Daripada jumlah 21.1 juta keseluruhan pemilih, seramai 1.4 juta adalah remaja berusia 18 hingga 20 tahun diikuti 4.6 juta pemilih berumur 21 hingga 29 tahun.

Sementara itu, segmen umur pengundi terbesar berusia 30 hingga 39 tahun seramai 4.7 juta pemilih iaitu 22.11 peratus manakala seramai 3.6 juta adalah dewasa berusia 40 hingga 49 tahun.

Baca juga Bersedia dengan kesan air surut global – Siapa dan sektor ekonomi mana akan terkesan?

Baca juga Aduhai! Nasib baik monyet ni tak cedera