Malaysia Dateline

Pemimpin terlibat rasuah: PH mahu kerajaan segera gubal Akta Dana Politik

Kerajaan digesa untuk menggubal segera Rang Undang-Undang (RUU) tentang pendanaan politik bagi mengekang gejala rasuah dalam kalangan pemimpin politik ketika ini.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan menimbulkan rasa risau dan marah apabila meneliti berita-berita rasuah yang semakin menjadi-jadi.

“Beberapa reformasi dan tindakan tegas perlu dilaksana kerajaan pada kadar segera termasuk RUU Pendanaan Politik serta meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah di bawah bidang kuasa Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut dibuat bersama PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; AMANAH Mohamad Sabu; DAP Anthony Loke Siew Fook; dan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Madius Tangau.

PH memetik laporan terbaru berkaitan keterangan mahkamah bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan, yang dibayar elaun bulanan sehingga RM30,000 sebulan sebagai penasihat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Berdasarkan laporan media, walaupun dilantik sebagai ahli lembaga penasihat, beliau tidak pernah menghadiri sebarang mesyuarat untuk membincangkan perkara berhubung 1MDB.

Kakitangan 1MDB juga tidak pernah melaporkan kepada beliau mengenai operasi harian 1MDB.

Ini kata PH, menimbulkan pelbagai tanda tanya kerana pada ketika beliau menerima bayaran-bayaran berkait 1MDB ini beliau masih memegang jawatan Ketua Setiausaha Negara.

Dalam kes berhubung Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pula, seorang bekas pengarah UKSB berkata, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah menerima di antara SGD200,000 hingga SGD520,000 sebulan.

Bekas pengarah itu juga berkata Khairy Jamaluddin melalui UMNO Bahagian Rembau telah menerima di antara RM50,000 hingga RM200,000.

“Kedua-dua kes ini amat merisaukan, bukan hanya kerana ia melibatkan tokoh-tokoh politik besar tetapi juga tokoh utama perkhidmatan awam.

“Majlis Presiden Pakatan Harapan mengulangi komitmen untuk memerangi rasuah,” tegasnya lagi.

Baca juga: Bagaimana dengan khemah besar rakyat?

Baca juga: Cari kerja malas, rogol pula anak kandung