Pemuda AMANAH Nasional mengutuk tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dilaporkan telah membuka kertas siasatan terhadap Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali ekoran laporan yang mendakwa Mohd Nazlan mempunyai ‘kekayaan yang tidak dapat dijelaskan sumbernya’.
Exco Pemudanya, Fadhli Umar Aminolhuda berkata siasatan terhadap Mohd Nazlan perlu segera dihentikan kerana alasan memulakan siasatan tersebut amatlah lemah, tidak berasas dan mengelirukan.
Beliau juga menganggap bahawa siasatan yang sedang dijalankan itu adalah satu bentuk intimidasi eksekutif ke atas badan kehakiman Malaysia.
“Pemuda AMANAH Nasional ingin membawa perhatian kepada peruntukan Seksyen 29(3) Akta SPRM 2009. Kuasa menjalankan siasatan oleh SPRM boleh dilakukan sekiranya pegawai SPRM mempunyai ‘sebab untuk mengesyaki’ dan bukan semata-mata atas alasan bahawa suatu laporan telah dibuat seperti yang dinyatakan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.
“SPRM sepatutnya menilai terlebih dahulu laporan yang diterima dan menyatakan apakah sebab yang disyaki tersebut sebelum membuat siasatan ke atas Nazlan.
“Pemuda AMANAH Nasional juga kecewa dan mengutuk sifat ‘limau masam sebelah’ oleh SPRM yang penuh hipokrasi dalam menjalankan tugas dan amanah mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu Fadhli berkata, rakyat masih ingat bagaimana SPRM membisu malah dengan segera menafikan keperluan siasatan apabila Tan Sri Azam Baki dituduh menyalahgunakan kedudukan beliau sebelum ini walaupun ada laporan telah dibuat.
Pengerusi Peguam Muda AMANAH itu turut berharap agar tindakan yang sedang berlaku ini bukanlah satu konspirasi panjang untuk mencemarkan nama Hakim pertama yang telah menyabitkan penjenayah rasuah, Datuk Seri Najib Razak.
“Dalam apa keadaan sekalipun, Najib dan pengikutnya perlu sedar bahawa beliau dijatuhkan bersalah bukan sahaja oleh Hakim Nazlan. Malah dikekalkan keputusannya oleh 3 orang lagi Hakim Mahkamah Rayuan iaitu Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sehinggakan Najib digelar sendiri oleh Panel Mahkamah Rayuan sebagai “National Embarassment.”.
“Adakah ketiga-tiga Hakim Mahkamah Rayuan ini juga akan dipalitkan dengan kontroversi mengarut sebegini?,” soalnya.
Baca juga: Guan Eng persoal kenapa SPRM siasat Nazlan dan bukannya Azam Baki
Baca juga: Warga emas ditahan lakukan persetubuhan dengan kucing hingga mati