Malaysia Dateline

Penerbangan sering ditunda dan dijadual semula? Ini pampasan yang anda boleh tuntut

Baru-baru ini tular di media sosial mengenai syarikat penerbangan yang menunda perjalanan tanpa memberikan notis hingga penumpang terpaksa menunggu selama 8 jam di lapangan terbang.

Sudahlah ‘disidai’ begitu lama, tiada pula inisiatif daripada pekerja syarikat penerbangan untuk datang dan menerangkan punca penundaan masa hingga akhirnya penumpang terpaksa muat naik keadaan mereka di media sosial untuk dapatkan jawapan daripada pihak bertanggungjawab.

Pada ketika itu, kemungkinan ramai tidak sedar mengenai tuntutan yang boleh dibuat penumpang kepada syarikat penerbangan jika berdepan situasi di atas.

Menurut maklumat yang dikongsi oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) di laman Facebook, terdapat beberapa jenis pampasan yang boleh dituntut jika penerbangan ditunda atau dijadual semula.

“Jika penerbangan anda ditunda 2 jam atau lebih, maka anda layak untuk menuntut makanan, panggilan telefon dan akses internet.

“Sekiranya penerbangan ditunda 5 jam atau lebih, pengguna boleh menuntut penginapan hotel dan pengangkutan.

“Apabila penerbangan dibatalkan, maka pengguna berhak mendapat pembayaran balik secara penuh atau penerbangan alternatif,” info yang diambil dari Suruhanjaya Penerbangan Malaysia.

Tetapi pengeculian pampasan boleh berlaku sekiranya terdapat situasi yang tidak boleh dielakkan oleh syarikat penerbangan seperti risiko keselamatan atau cuaca ekstrem.

Pengguna disarankan untuk membuat aduan kepada syarikat penerbangan yang berkenaan bagi sebarang tuntutan pampasan.

Sumber: Facebook Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN)

Baca Juga: “Laa rupanya Remy Ishak yang tolong ambilkan gambar pasangan ini,”