Pengalaman wartawan, anak jadi mangsa buli siber dan gangguan dalam TikTok

Oleh ARIF ATAN

Kejadian buli siber dan gangguan dalam talian semakin kerap berlaku terutama sekali sejak kemunculan platform video pendek, TikTok.

Ramai menjadi mangsa. Salah seorang yang menjadi mangsa ialah Swashna Arora (nama samaran), seorang ketua penyunting laman sesawang berita di Lembah Kelang.

Beliau yang mempunyai latar belakang dalam bidang penyiaran mula membuat video pendek di dalam Tik Tok sewaktu arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Klip video yang dihasilkannya adalah khusus berkaitan dengan kerohanian dalam Hinduisme.

Sebelum menjadi mangsa buli siber di TikTok, video-video yang dihasilkannya seringkali digantung penyiarannya. Akaunnya pernah digantung untuk tempoh beberapa minggu.

“Saya tidak faham bagaimana TikTok menguatkuasakan garis panduan komuniti mereka walhal mereka tidak mempunyai kepakaran dalam bidang yang dihebahkan. Mereka juga tiada kemudahan untuk menyemak fakta (fact – checking).”

“Saya sangat tidak berpuas hati dan bercadang untuk berhijrah ke Youtube pada masa akan datang,” katanya.

Dia kemudian menceritakan pengalamannya bersama anaknya menjadi mangsa buli di TikTok.

“Anak perempuan saya yang berusia tiga tahun dan diri saya menjadi mangsa buli siber dan gangguan dalam talian pada 9 Disember dengan kemunculan beberapa TikTok yang telah diedit, kata Swashna.

“Video anak yang bertafakur mengikut ajaran agama Hindu telah diubah dengan latar belakang muzik selawat. Klip tersebut digunakan dengan tujuan untuk menghasut masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

“Gambar profil saya telah disalahgunakan untuk mencipta akaun palsu dengan nama yang hampir serupa dengan nama saya di TikTok.

Fahmi Fadzil

“Secara keseluruhan, saya mendapati sehingga tujuh akaun palsu dibuka dengan tujuan untuk memalukan diri saya dan anak saya.”

“Ada klip yang membuat tohmahan bahawa saya seorang warga Bangladesh dan ada yang membuat dakwaan palsu bahawa saya seorang ibu tunggal,” kata Swashna yang bersuami.

Oleh sebab itu, beliau mula bimbang setelah menonton video yang memaparkan anaknya tular di media sosial.

“Saya kurang tidur kerana terpaksa mengawasi penularan akaun palsu dan video baru yang diedit.

“Ia dimuatnaik awal pagi sebelum subuh,” katanya merujuk kepada akaun-akaun yang muncul sekitar 4 pagi.

Sambil lewa

Swashna turut mendakwa TikTok sambil lewa untuk menghentikan penularan video palsu tersebut.

Cabaran seterusnya timbul apabila beliau terpaksa membuat laporan kepada TikTok dan pihak berkuasa iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Saya terpaksa membuat laporan kepada kedua-dua agensi beberapa kali. Pihak SKMM tiada kuasa menyiasat manakala perkara ini tidak sepenuhnya berada dalam bidang kuasa pihak PDRM,” katanya.

Laporan kepada SKMM pada mulanya dibuat secara dalam talian disusuli pula dengan satu laporan polis pada 12 Disember lalu.

Dalam laporannya, dia meminta siasatan pihak polis dijalankan kerana bimbang video palsu yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab boleh digunakan untuk mencetuskan sentimen perkauman di antara masyarakat Muslim dan bukan Muslim.

Ditanya mengenai laporan kepada SKMM, Swashna memberitahu Malaysia Dateline bahawa SKMM melayani aduannya setelah ciapan Twitter kepada Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil menjadi tular.

Baca juga Kerajaan Perpaduan bina negara, satukan sebanyak mungkin pemimpin – Fahmi