Sejak semalam tular beberapa rakaman video dari seorang penduduk flat yang menunjukkan sikap beberapa jirannya yang secara selamba cop parkir menggunakan tong sampah.
Menerusi perkongsian pengguna Facebook, Zul Hilmi Abdullah di laman group ‘B40 buat perangai apa hari ini’, video tersebut menarik perhatian netizen yang turut bengang dengan tindakan dianggap mementingkan diri.
Dalam video berkenaan, penghuni flat di situ masing-masing cop parkir menggunakan tong sampah berwarna oren dan ada juga cop menggunakan motosikal.
Menerusi video yang dikongsikan, dapat dilihat gelagat penduduk di situ yang bergegas menarik tong sampah ke petak parkir sejurus kereta dikeluarkan bagi mengelak orang lain parkir di tempat berkenaan.
Pada awal bulan lalu, orang ramai mengecam tindakan segelintir penduduk kawasan perumahan flat yang cop parkir menggunakan pelbagai jenis kon dan botol simpanan air.
Perkongsian video kali ini menyebabkan orang ramai menyatakan rasa kurang senang melihat tindakan penghuni rumah flat yang seperti tidak tahu bahawa parkir disediakan untuk dikongsi bersama.
Bagaimanapun, seorang pengguna Facebook, Rahman ismail berkata, apa yang berlaku hari ini merupakan masalah yang dicipta dari kerajaan.
Ini kerana katanya, mereka membina rumah flat tetapi keperluan tempat meletak kenderaan tidak ada walahal itu adalah kemudahan yang diperlukan.
“Sama juga dulu bina rumah flat dengan saiz yang sangat tidak sesuai untuk kehidupan manusia berkeluarga. Dua bilik contoh di flat bukit cagar dulunya. Akhirnya timbul banyak masalah sosial.
“Bila mereka bina untuk keuntungan bukan bina rumah untuk membina masyarakat,” katanya.
Ada juga pengguna yang berpendapat bahawa rumah kos rendah seperti ini bukan untuk didiami seumur hidup.
Tetapi katanya, ianya untuk orang yang baru memulakan kehidupan dan setelah 10 hingga 15 tahun, penduduk seharusnya berpindah dan cari rumah yang lebih selesa.
Baca juga: MP Hulu Langat huraikan apa masalah veteran tentera sebenarnya
Baca juga: Lihat beg aneh terapung di laut, rupanya berisi mayat bayi perempuan