Pengusaha taska tersepit jika bayar gaji minimum, MP minta kerajaan beri lebih banyak subsidi

Oleh KIM SYAZIE

Kerajaan sepatutnya mempertimbangkan untuk memberi lebih banyak subsidi kepada pengusaha-pengusaha taska yang bergelut dengan kesukaran untuk membayar gaji minimum tenaga pengajar.

Ahli Parlimen DAP, Hannah Yeoh berkata, industri taska dan tadika antara yang terkesan teruk terutama pasca Covid-19.

“Lebih banyak subsidi harus diberikan kepada pengusaha taska dan tadika kerana industri ini betul-betul dalam kesusahan pasca Covid-19 dan kenaikan harga barang.

“Di mana suara menteri Wanita dan timbalannya? Mereka orang yang sama dilantik perdana menteri Bersatu dan PM Umno,” ciapnya dalam satu hantaran di Twitter.

Terdahulu dilaporkan, tadika mungkin berhadapan kesukaran membayar gaji minimum RM1,500 sebulan kepada tenaga pengajar.

Namun masih berusaha untuk tidak naikkan yuran atau cuma naikkan sedikit sahaja, kata persatuan seperti yang dilapor The Malaysian Insight.

Difahamkan tadika yang mengenakan bayaran lebih murah kepada ibu bapa, antara yang paling tertekan untuk melaksanakan gaji minimum baharu yang telah diwajibkan pada 1 Mei.

Baca juga: Beri manfaat kontrak balak pada keluarga termasuk dalam kesalahan jenayah

Baca juga: Netizen berang lihat pengantin lelaki pukul isteri di hadapan tetamu