Malaysia Dateline

Sebak tengok mangsa hampir bunuh diri nangis teresak-esak ketika dipeluk, ‘kadang tadah telinga pun boleh ringankan beban’

Sejak semalam tular satu video seorang wanita yang memakai jubah dan berpurdah cuba untuk membunuh diri di sebuah jambatan di Kota Bharu.

Pada awalnya ketika orang awam mengesan kejadian berkenaan, mangsa meminta orang ramai melepaskan tangannya. Namun beberapa ketika selepas dia dipeluk, mangsa terus menangis teresak-esak dalam pelukan.

Video berdurasi 1 minit itu dikongsikan pengguna media sosial yang kemudian membuatkan ramai sebak kerana percaya wanita berkenaan kemungkinan memendam masalah yang sangat berat dan tiada tempat untuk meluah.

Dengan hanya satu pelukan erat dan jadi pendengar buat seketika pun mampu meringankan beban seorang wanita, kata pemilik Facebook Ezie Ghani yang memuatnaik video berkenaan.

“Dengan hanya satu pelukan erat. Kadang-kadang hanya perlu tadoh telingo sajo pun boleh ringankan beban dalam palo dih. Allahurabbi. Sentap molek beraso. Hanya wanita jah hok pehe kot raso tu lagu mano. Sebab tu wanita ni complicated dan insan yang lemah. Jangan dibuat main dengan emosi orang tino. Semoga terus kuat sis,” tulisnya.

Ramai juga sependapat dengan wanita berkenaan dan turut meluahkan rasa sebak melihat situasi berkenaan.

“Allahu! Berjujuran jua air mata ni. Walau tak kenal, tapi tahu dia terbeban dengan pelbagai masalah. Semoga kuat ye kak. Ujian dari Allah,” ujar warganet.

Menerusi perkongsian cerita dari orang awam yang berada di tempat kejadian, mangsa hampir bunuh diri itu terus-terusan menyalahkan diri sendiri dan mengatakan dirinya jahat ketika ditanya apa yang membuatkan dia bertekad mahu terjun dari jambatan itu.

Wanita yang sedang memeluk mangsa bagaimanapun sempat menasihatkan dia agar berfikiran waras meskipun mempunyai masalah besar.

Wanita itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran oleh sebuah kereta peronda yang kebetulan lalu di jalan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Darul Naim, Ahmad Fakaruddin Berahim pada semalam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.45 tengah hari.

“Tujuh anggota dikejarkan ke lokasi dan sebaik tiba, kami dimaklumkan bahawa mangsa sudah dibawa oleh polis dan misi menyelamat dianggap selesai,” katanya.

Baca juga: ‘Syarikat penghantar makanan dari dulu sampai sekarang cuma diamkan diri bila rider ditimpa kemalangan’

Baca juga: Lebih RM5,000 lesap sampai tinggal seringgit je dekat bank, rupanya terbagi nombor TAC pada ‘scammer’